Croatia ikat Perancis

Split, Croatia: Andrej Kramaric menyempurnakan sepakan penalti lewat permainan untuk Croatia mengikat juara dunia Perancis 1-1 di laman sendiri dalam aksi Liga Negara-Negara Uefa.

Pemain tengah Juventus Adrien Rabiot meletakkan Perancis di depan pada minit ke-52 di Split ketika jurulatihnya Didier Deschamps menurunkan skuad kurang berpengalaman tanpa kelibat Kylian Mbappe dan Karim Benzema.

Croatia menyamakan kedudukan tujuh minit sebelum tamat apabila Kramaric mendapat sepakan penalti dan menyempurnakannya.

Kedua-dua pasukan masih memburu kemenangan pertama pada kempen kali ini.

“Kami melakukan banyak perkara bagus walaupun dengan dengan mengambil kira semua pertukaran yang dibuat.

“Kami mendahului dan hampir mendapat gol kedua. Malangnya kami memberikan mereka gol penyamaan dengan penalti.

“Sudah tentu keputusan ini tidak menggembirakan saya sepenuhnya. Tetapi ada faktor keletihan dan disebabkan perlawanan-perlawanan lain saya terpaksa melakukan pertukaran. Ia persediaan terbaik untuk Piala Dunia,” kata Deschamps.

Perancis dan Croatia baru mengumpul satu mata dalam saingan Liga A, Kumpulan 1. Perancis tewas 2-1 di tangan Denmark pada perlawanan pembukaan minggu lalu, manakala Croatia di benam 3-0 oleh Austria.

Pada malam Luka Modric mengumpul kap ke-150 untuk Croatia, Deschamps memberi peluang kepada pemain-pemain simpanan membuktikan kemampuan sebelum Piala Dunia di Qatar November ini.

METRO

Leave a Reply