Lelaki mabuk pandu lawan arus ditahan

Petaling Jaya: Seorang lelaki ditahan selepas memandu kenderaan secara melawan arus dalam keadaan mabuk di Lebuhraya Persekutuan, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 8.36 pagi.

“Kejadian itu berlaku jam 5.50 pagi semasa anggota kereta peronda (MPV) Balai Polis Petaling Jaya sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di lebuh raya berkenaan.

“Anggota bertugas kemudian mengesan sebuah kereta Perodua Axia dipandu secara melawan arus dan berbahaya sebelum kenderaan itu diarahkan berhenti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, bagaimanapun, pemandu kereta terbabit enggan memberhentikan kenderaan dan bertindak memecut kereta ke susur masuk Lebuhraya Pantai Baharu (NPE).

“Namun, cubaan pemandu lelaki berusia 22 tahun itu melarikan diri gagal apabila dia berjaya ditahan anggota polis bertugas di Jalan Klang Lama.

“Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan lanjut. Hasil ujian pernafasan dilakukan mendapati dia paras alkohol diambilnya melebihi had ditetapkan.

“Dalam kes ini, tiada sebarang kecederaan dan kemalangan dilaporkan. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 45(A)1 akta yang sama,” katanya.

Beliau memohon kerjasama orang ramai yang melihat atau mempunyai rakaman papan pemuka (dashcam) yang merakam kejadian itu supaya tampil ke IPD Petaling Jaya bagi membantu siasatan.

“Orang ramai juga boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik, Sarjan Mohd Sahidun Saiban di talian 011-33340775 untuk tindakan lanjut.

“Pihak polis mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelak berlakunya kemalangan,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker