Lelaki maut dirempuh pemandu mabuk

Kampar: Lelaki maut selepas kereta dipandu bertembung dengan sebuah lagi kenderaan disyaki dipandu dalam keadaan mabuk di KM 1 Jalan Kuala Dipang-Malim Nawar di sini, malam tadi.

Mangsa, Mohd Nazri Sham Aring, 42, cedera di bahagian dada disahkan maut di tempat kejadian.

Sementara, anak mangsa berusia tiga tahun mengalami pendarahan dalaman di kepala, manakala isterinya mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Ipoh Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan membabitkan Perodua Viva dan Honda Civic kira-kira 11.45 malam.

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kereta Honda Civic memasuki laluan Perodua Viva mengakibatkan kedua-dua kenderaan bertembung secara berdepan.

“Akibat kemalangan pemandu Perodua Viva maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Nazri berkata, pemandu Honda Civic berusia 19 tahun dan penumpang berusia 29 tahun tidak cedera.

Katanya, remaja berkenaan disyaki memandu dalam keadaan mabuk ketika kejadian.

“Punca kemalangan masih di siasat. Bedah siasat yang dilakukan di Jabatan Forensik Hospital Kampar mengesahkan punca kematian disebabkan ‘polytrauma sekunder akibat kemalangan’.

“Pemandu Honda Civic ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

METRO

Leave a Reply