Suami isteri meninggal dunia dirempuh pemandu mabuk

Jasin: Pasangan suami isteri maut selepas motosikal dinaiki dirempuh Perodua Myvi yang dipercayai dipandu di bawah pengaruh alkohol di Jalan Serkam Pantai, di sini, hari ini.

Kejadian pada 7.45 pagi itu mengakibatkan mangsa Ezuddin Mohammad, 50, dan isteri Surayah Muhamat, 48, yang menaiki motosikal Yamaha Ego maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, kejadian itu membabitkan tiga motosikal dan sebuah kenderaan dipandu pemuda berusia 24 tahun.

Beliau berkata, sebelum kejadian mangsa yang maut bersama penunggang motosikal Yamaha Lagenda berusia 57 tahun dikatakan dalam perjalanan dari arah Melaka menghala ke Merlimau manakala Perodua Myvi pula dari arah bertentangan.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu Perodua Myvi yang dipercayai mabuk hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

“Ketika kenderaan itu memasuki laluan bertentangan kedua-dua motosikal yang datang dari arah hadapan tidak sempat mengelak dan membrek lalu bertembung,” katanya.

Beliau berkata, akibat pertembungan itu motosikal ditunggang lelaki berusia 57 tahun terbakar, manakala sebuah lagi motosikal yang diletakkan dibahu jalan turut dirempuh Perodua Myvi berkenaan.

“Kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala mangsa berusia 57 tahun cedera ringan di badan.

“Pemandu Perodua Myvi yang juga operator kilang pula cedera ringan di muka,” katanya.

Menurut beliau, mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Melaka bagi menerima rawatan manakala mangsa yang maut dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Jasin bagi proses bedah siasat.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker