Tak mampu bayar pengasuh, kurung anak dalam sangkar

Beijing: Tular klip video di Weibo iaitu platform digital terkenal di China yang menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki diletakkan di dalam sangkar beroda.

Klip berdurasi 12 saat itu menunjukkan kanak-kanak lelaki itu mencapai jeriji sangkar itu untuk mendekati individu yang merakamnya.

Dalam rakaman itu, kelihatan papan tanda menutupi bahagian tepi sangkar supaya kanak-kanak itu tidak dapat dilihat oleh orang yang lalu-lalang.

Papan tanda itu menunjukkan bahawa pengusaha gerai yang menggunakan kereta sorong itu, menjual jeli ais berperisa iaitu sejenis pencuci mulut.

Dalam temu bual dengan China Wanxiang News, ibu kepada kanak-kanak lelaki itu yang tidak disebutkan namanya menyatakan dia berasal dari Tongren di wilayah barat daya Guizhou.

Menurut wanita berkenaan, dia tidak mempunyai pilihan selain membawa anaknya yang berusia dua tahun ke tempat kerja.

Dia memberitahu Wanxiang News bahawa keluarganya miskin dan dia tidak mampu membayar upah pengasuh bagi menjaga anaknya.

Bagi memastikan tidak timbulnya masalah kerana sukar memberi perhatian, maka wanita itu meletakkan anaknya di dalam sangkar di bawah tempat dia berniaga.

Berkongsi dengan China Xi’an Broadcast, wanita itu berkata bahawa dia bekerja selama kira-kira lapan jam sehari.

“Kami tidak mempunyai wang. Setiap kali tiba masa untuk membeli susu tepung, kami tidak mempunyai wang tunai.

“Kami makan sekali, dan tiada wang lagi untuk hidangan seterusnya,” katanya.

Tambahnya, kanak-kanak itu tidak boleh ditinggalkan bersama bapanya kerana suaminya itu tidak ambil peduli dan sibuk menghabiskan sepanjang masa dengan bermain permainan dalam talian.

“Saya cuba melepaskan (anak) apabila tiada pelanggan di sekeliling. Ini kerana saya tahu anak saya sangat menderita,” kata wanita itu kepada Xi’an Broadcast.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker