Warisan saman ADUN keluar parti

KOTA BELUD: Parti Warisan (WARISAN) akan saman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal ke mahkamah kerana keluar daripada parti itu dan melanggar perjanjian.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata Rina akan menerima nasib yang sama dengan lima ADUN yang sudah keluar dari WARISAN sebelum ini.

“Sebahagian mereka memang kita sudah bawa ke mahkamah kita heret mereka oleh kerana perjanjian yang telah kita nyatakan kepada mereka, pengakuan mereka.

“Itu (bawa ke mahkamah) sememangnya akan menjadi satu tindakan yang kita lakukan,” katanya.

Terdahulu, Rina mengumumkan keluar WARISAN dan mengesahkan menyertai Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) yang diketuai Presidennya, Tan Sri Liew Yun Fah.

Lima wakil rakyat WARISAN sebelum ini yang sudah keluar parti adalah Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik), Datuk Dr Yusof Yaacob (Sindumin), Ahli Parlimen Lahad Datu merangkap ADUN Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi, Datuk Peter Anthony (Melalap) dan Datuk Nuil Juatim (Limbahau).

Selepas lima ADUN itu keluar parti, WARISAN kini memiliki 18 kerusi DUN dan blok pembangkang tinggal 26 kerusi, manakala blok kerajaan termasuk ADUN Bebas dan ADUN Dilantik mempunyai 52 kerusi.

Bagaimanapun, Mohd Shafie menegaskan tindakan bekas Naib Ketua Wirawati WARISAN berkenaan tidak melemahkan parti terutama di kawasan Tawau dan Kalabakan.

“Kita masih mantap lagi di Tawau, Kalabakan. Berbagai langkah yang mereka lakukan untuk menekan, melemahkan WARISAN. WARISAN insya-ALLAH masih kuat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Kaamatan WARISANN, di Dewan Kadamaian Square, dekat sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan seorang lagi ADUN WARISAN mengumumkan keluar parti dan menyertai PHRS.

BHOnline

Leave a Reply