Nasib ‘Pak Wan’ veteran ATM terbela

KUALA LUMPUR: “Terima kasih Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas keprihatinan, rumah yang dapat ini cukup selesa, lengkap dengan alat kelengkapan rumah seperti orang sudah berkeluarga,” luah bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mohd Redzuan Abdullah, 60, yang kisahnya tinggal dalam kereta sejak 20 tahun lalu mendapat perhatian pemimpin nombor satu negara itu, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian kepada media hari ini selepas menerima kunjungan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang menyerahkan surat tawaran penyewaan sebuah unit Perumahan Awam Seri Johor 4C, Cheras.

Mohd Redzuan atau mesra dipanggil Pak Wan berkata, beliau tidak menyalahkan sesiapa mengenai nasibnya yang terpaksa hidup dalam serba kekurangan dengan menjadikan sebuah kereta di belakang bangunan kedai serbaneka di Taman Sungai Besi, di sini, sebagai kediaman.

“Kalau kita bersangka baik, Tuhan akan beri yang baik…disebabkan duduk seperti ini tidak buat masalah, tolong jaga kebersihan tempat ini dan tidak mengharapkan bantuan, hari ini dapat rumah yang selesa,” katanya.

Sementara itu, Shahidan berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membantu proses pemindahan veteran ATM itu secepat mungkin dan beliau tidak perlu membayar sewa bulanan rumah selama setahun.

“Begitu juga dengan tambahan peralatan rumah untuk beliau (Mohd Redzuan), ini semua akan diuruskan sebaiknya. Insya-Allah akan ada kawan kita yang dermawan membantunya,” katanya.

Mohd Redzuan yang berkhidmat selama 17 tahun dalam ATM menyara kehidupannya dengan membaiki kenderaan di kawasan sekitar Sungai Besi dan kereta Volvo yang menjadi ‘kediamannya’ selama 20 tahun itu diberikan pelanggannya.

Pada 28 Mei lalu, Ismail Sabri yang diwakili Setiausaha Politiknya, Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad melawat Mohd Redzuan dan mahu pesara itu diberikan sebuah rumah transit dalam masa terdekat dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan.

BERNAMA

Leave a Reply