Skuad muda Itali menewaskan Hungary 2-1
CESENA, Itali: Itali mendahului saingan Kumpulan A3 Liga Negara-Negara UEFA selepas skuad berwajah baharu kendalian Roberto Mancini menewaskan Hungary 2-1.
Jaringan babak pertama Nicolo Barella dan Lorenzo Pellegrini di Cesena meletakkan mereka satu mata di depan Hungary dalam kumpulan yang turut dibarisi Jerman dan England.
Hungary yang dikendali bekas rakan sepasukan Mancini di Sampdoria, Marco Rossi, mendapat gol tunggal hasil jaringan sendiri Gianluca Mancini pada minit ke-61.
Juara Eropah itu, yang cuba menebus kegagalan layak ke Piala Dunia untuk dua edisi berturut-turut, akan bertandang ke Wolverhampton bertemu England Sabtu ini sebelum menentang Jerman di Moenchengladbach tiga hari kemudian.
“Ia persembahan yang baik, terutama di babak pertama. Gol mereka membuatkan kami sedikit gentar tetapi sepatutnya kami boleh menang dengan jurang lebih besar.
“Pasukan ini dibarisi pemain-pemain muda yang perlu bekerja keras, perjalanan masih panjang,” kata Mancini.
Mancini menyenaraikan pemain yang kurang minit permainan atau tidak memainkan peranan ketika kejayaan Itali di Euro 2020, kejayaan yang pudar selepas disingkirkan oleh Macedonia Utara untuk kelayakan Piala Dunia Mac lalu.
AFP