Turkmenistan gerun jumpa Harimau Malaya
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Turkmenistan, Yazguly Hojageldiyev tidak menganggap kedudukan di ranking lebih tinggi sebagai jaminan buat pasukannya meraih kemenangan ke atas Malaysia dalam aksi kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.
Sebaliknya, dia mengakui bimbang dengan prestasi yang dipamerkan Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan Gon yang meraih keputusan positif dalam aksi persahabatan berdepan Brunei dan Hong Kong sebelum ini.
Mengakui pasukannya tidak melakukan persiapan rapi, pengendali berusia 45 tahun itu menjangkakan aksi sukar terpaksa diharungi anak buahnya apabila berdepan Harimau Malaya.
“Walaupun kedudukan ranking kami lebih baik, namun kami tetap fikir perlawanan ini adalah sukar terutama apabila ia perlawanan pertama yang mana kedua-dua pasukan mahukan kemenangan.
“Secara jujur, saya akui beraksi tiga perlawanan peringkat kumpulan dalam tempoh seminggu bukanlah sesuatu yang mudah khususnya apabila kami tidak dapat melakukan persiapan seperti yang diharapkan.
“Apa yang penting, saya harap barisan pemain dapat berikan yang terbaik dan tidak menghiraukan status pasukan lawan selaku tuan rumah yang memiliki kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri,” katanya pada sidang media, hari ini.
Turkmenistan ketika ini menduduki ranking ke-134 dunia iaitu 20 anak tangga di depan Harimau Malaya yang menghuni kedudukan ke-154 dunia.
BHOnline