Abang Long Fadil 3 masuk pawagam

KUALA LUMPUR: Andai sebelum ini enggan mengambil risiko penularan COVID-19 jika filem mega terbitan ditayangkan di pawagam, Skop Productions Sdn Bhd akhirnya memutuskan karya garapan Syafiq Yusof, Abang Long Fadil 3 dipertontonkan kepada peminat, September ini.

Bakal mengisi slot tayangan dijangka menjelang pertengahan September, peralihan fasa endemik dan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) meyakinkan pemilik empayar Skop Productions, Datuk Yusof Haslam menayangkan Abang Long Fadil 3 selepas satu lagi karya dihasilkan anaknya, Syamsul iaitu Mat Kilau memasuki pawagam, mulai 23 Jun ini.

Keputusan Skop Productions menayangkan sekuel ketiga Abang Long Fadil yang sebelum ini memecah rekod kutipan tiket bagi dua versi terawal, melegakan penonton selepas lebih dua tahun menunggu tarikh tayangan.

Yusof mengaku teruja melihat perkembangan positif fasa peralihan endemik apabila semakin banyak filem ditayangkan di pawagam, sejak akhir ini.



“Bagaimanapun, bagi Skop Productions, hanya filem Abang Long Fadil 3 sudah mendapat jangkaan tarikh tayangan iaitu pertengahan September ini.

“Sebuah lagi filem terbitan Skop, Polis Evo 3 belum ada tarikh tayangan. Dalam soal ini, saya tiada tekanan atau terburu-buru mendapatkan slot tayangan.

“Cuma andai kedua-dua filem dapat ditayangkan tahun ini adalah baik,” katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, Skop Productions dilapor berbelanja kira-kira RM12 juta bagi menerbitkan filem mega Abang Long Fadil 3 serta Polis Evo 3 dan tidak terdesak menayangkannya ketika COVID-19 masih menular.



Abang Long Fadil 3 diterbitkan Skop Productions dan Astro Shaw. Filem ini berdasarkan watak sampingan daripada filem KL Gangster dan filem ketiga dalam siri filem yang juga kesinambungan kepada karya dipertontonkan pada 2014 dan filem 2017.

Sekuel ketiga filem ini mengekalkan Zizan Razak yang memegang watak Fadil, selain menampilkan beberapa pelakon handalan seperti Maya Karin yang menghidupkan watak Ejen Maya dan Tania Hudson (Yana).

Pada 2017, filem Abang Long Fadil 2 mengutip RM13 juta selepas 13 hari ditayangkan di 120 pawagam di seluruh negara termasuk Brunei dan Singapura.

Terdahulu, filem berkenaan mengaut RM700,000 pada hari pertama tayangan. Selain Zizan, sekuel kedua filem itu dibintangi Syamsul, Datuk AC Mizal, Wak Doyok dan Tania.

Yusof berharap peralihan fasa endemik sejak April lalu terus membuka ruang bagi pengkarya untuk terus aktif menghasilkan filem terbaik.

“Kita lihat sambutan filem Indonesia, KKN Di Desa Penari dan karya Hollywood, Doctor Strange in the Multiverse of Madness di mana penonton serbu pawagam.

“Reaksi penonton terhadap kedua-dua filem itu cukup bagus. Saya juga teruja mendengar ulasan positif terhadap filem tempatan, Tiga Janda Melawan Dunia. Cuma saya belum sempat menontonnya,” katanya.

Yusof berharap penonton dan peminat filem tempatan terus menyokong karya dihasilkan anak seni selaras fasa peralihan endemik.

“Inilah masanya untuk kita buktikan semangat dan beri sokongan ke atas filem tempatan selepas hampir dua tahun diuji COVID-19.

“Tiada alasan untuk kita tidak menyemarakkan pawagam, sekali gus membiasakan norma baharu dan akur SOP,” katanya.

Yusof teruja menanti reaksi peminat terhadap filem Mat Kilau garapan Syamsul yang memasuki pawagam, tidak lama lagi.

“Saya bangga akhirnya Syamsul berjaya menyempurnakan mandat dan tanggungjawab diamanahkan untuk menghasilkan Mat Kilau,” katanya.

Sebelum ini, BH melaporkan, bukan sedikit cabaran dihadapi dalam merealisasikan projek pembikinan filem yang mengangkat kisah perjuangan pahlawan Melayu, Mat Kilau, sejak kali pertama diumumkan pada 2007.

Berdepan pelbagai cabaran dan halangan sebaik penggambaran peringkat awal filem biografi epik itu bermula pada 2014 sebelum terhenti hingga bertukar pengarah, Mat Kilau di bawah garapan Syamsul, akhirnya menemui penonton di pawagam tempatan mulai 23 Jun depan.

Mengimbas kembali, penerbit filem Mat Kilau, Studio Kembara mendapatkan khidmat Syamsul yang menggarap semula jalan cerita asal dan memulakan penggambaran pada 2017.

Filem Mat Kilau menelan belanja RM8 juta dan menjalani penggambaran selama 100 hari di Perak dan lokasi lain termasuk Pahang, Melaka dan Selangor.

Filem itu mengambil inspirasi daripada kisah perjuangan Mat Kilau dan diubah mengikut kesesuaian, bukan sepenuhnya kisah benar membabitkan pahlawan itu.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker