‘Alasan pembangkang elak PRU-15 dedah kekhuatiran mereka’

KUALA LUMPUR: Alasan demi alasan oleh pembangkang untuk mengelak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan segera mendedahkan kekhuatiran sebenar mereka.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia berkait kekhuatiran untuk berdepan penentuan rakyat yang pernah mereka perdaya sebelum ini demi mendapatkan kuasa.

“Dulu pembangkang beri alasan COVID-19. Oleh itu PRU-15 tidak boleh diadakan, kini alasan inflasi pula. Mahu ‘membeli masa’ untuk mendapatkan ruang mencukupi membohongi dan menipu rakyat sekali lagi.

“Insya-Allah dengan kembali sebuah kerajaan yang mampan apa jua cabaran dapat negara kendalikan dengan lebih baik,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, pembangkang ‘marah’ apabila ada pihak yang menyarankan supaya PRU-15 diadakan segera.

“Mereka membentak dan tuduh mereka yang menyarankan PRU-15 tidak peduli dengan nasib rakyat B40. Tidak pernah sesekali diri ini melupakan golongan memerlukan sepanjang melangkahi kehidupan ini. Segala bantuan diberi perlukah dihebahkan sedangkan yang dicari adalah keredaan dan keberkatan Ilahi.

“Harus diingat jurang pendapatan golongan miskin dan kaya di negara ini dilaporkan melebar pada 2019. PRU-15 langkah paling demokratik untuk rakyat mendapatkan semula sebuah kerajaan yang kukuh.

“Dengan sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh pasti usaha-usaha membantu rakyat akan lebih efektif. Lagipun memang itu yang dipersetujui iaitu kerajaan campuran hanyalah sementara sehingga PRU-15,” katanya.

Beliau berkata, pihak yang labelkan kerajaan campuran hari ini sebagai kerajaan cap ayam adalah pembangkang.

“Yang kuat mengambil kesempatan menghentam dasar kerajaan sejak kebelakangan ini pembangkang. Sehinggakan keputusan melarang eksport ayam bagi mencukupi keperluan rakyat turut dikecam,” katanya.

BHOnline

Leave a Reply