Bahang PRU15 semakin terasa, bila-bila masa sahaja

PRU15 perlu diadakan segera

Oleh – Ku Zairi Ku Kamal

Menyentuh soal PRU15, ramai kalangan rakyat sudah semakin bersedia memberi mandat baru untuk pembentukan kerajaan. Malah, bahang PRU15 semakin terasa dengan pelbagai kenyataan menjurus kearah pembubaran parlimen.

Antara faktor menunjukkan rakyat telah bersedia untuk memilih kerajaan baru apabila mereka mula bercakap mengenai ekonomi dan inflasi yang sedang berlaku.

Memahami kestabilan sesebuah kerajaan amat penting untuk mengawal ekonomi serta kenaikan inflasi negara, rakyat menunjukkan kecenderungan mengkritik kelembapan Menteri menangani kenaikan harga barang keperluan.

RAMAI MENTERI YANG DILANTIK MAKAN ‘GAJI BUTA’

Media sosial menjadi medan rakyat melempiaskan kemarahan mereka terhadap Menteri yang dianggap ‘makan gaji buta’ dan hanya mengeluarkan kenyataan yang tidak relevan bagi mengatasi masalah rakyat.

Lebih mengeruhkan keadaan, percakaran serta percaturan politik kalangan parti politik menyebabkan rakyat semakin bosan berikutan banyak konklusi baik untuk rakyat tidak dapat dilaksanakan kerana perbalahan parti politik.

Lebih malang lagi, golongan ‘katak politik’ sudah menunjukkan belang sebenar keberadaan mereka dalam politik yang hanya mementingkan kedudukan serta kuasa.

‘KATAK POLITIK’ SUDAH BERSEDIA MELOMPAT LAGI, KEKALKAN JAWATAN 

Sebagai contoh, apabila Zuraida Kamarudin membuat keputusan meninggalkan PPBM tempohari, parti itu mendesak agar jawatan Menteri yang disandang Zuraida turut dilucutkan dan diserahkan kepada mereka (PPBM).

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Dato Sri Ismail Sabri mengekalkan kedudukan Zuraida sebagai Menteri tanpa mengambilkira desakan PPBM.

Penganalisis politik pula berpendapat kerajaan Keluarga Malaysia bakal tersungkur sekiranya Zuraida dipecat dari jawatannya. Ini berdasarkan desas-desus hampir 10 orang Ahli Parlimen (Katak Politik) bakal berhijrah dan tidak memberi sokongan kepada Ismail Sabri sebagai PM.

Terbaru, Presiden WARISAN, Datuk Seri Shafie Apdal mendakwa, Tan Sri Muhyiddin memaklumkan beliau mempunyai 119 sokongan Ahli Parlimen untuk membolehkannya dilantik semula menjadi PM. 

Namun demikian, Muhyiddin menafikan dakwaan Shafie menerusi satu kenyataan media tetapi beliau mengaku telah berbincang (tidak rasmi) dengan DAP dan PKR untuk membentuk kerjasama menjelang PRU15.

KERAJAAN KELUARGA MALAYSIA BUKAN KERAJAAN BN/UMNO

Ini telah menyebabkan rakyat mula menaruh sangsi terhadap Kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Ismail Sabri.

Percaturan sebegini membuka mata rakyat, negara memerlukan sebuah kerajaan yang lebih stabil tanpa perlu tunduk dengan ugutan atau desakan pihak lain apabila mahu membuat dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.

Tidak seperti sekarang, walau Kerajaan Keluarga Malaysia nampak seperti aman damai, percanggahan kenyataan serta pendapat terus berlaku tanpa mengambil kira pandangan rakyat. Ini kelemahan utama Kerajaan Keluarga Malaysia.

Jadi tidak salah sekiranya PM menimbangkan untuk membubarkan parlimen dalam tempoh terdekat bagi membolehkan rakyat memilih sebuah kerajaan baru yang lebih stabil, lebih berdaya saing dan lebih menjaga kepentingan rakyat dan negara daripada kepentingan politik parti.

Penafian – Tulisan dalam artikel ini tidak menggambarkan pendirian MyTvOnline,sebarang komen atau pendapat bukan tanggungjawab kami.

PRU15 – bersediakah rakyat membetulkan keadaan?

Leave a Reply