Bayaran PUSPAKOM tanpa tunai bermula 1 Julai

Shah Alam: Semua 54 pusat pemeriksaan kenderaan berkomputer (PUSPAKOM) di seluruh negara akan beralih ke urus niaga pembayaran tanpa tunai sepenuhnya bagi semua jenis pemeriksaan kenderaan bermula 1 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Shukor Ismail berkata, peralihan kepada transaksi urus niaga tanpa tunai itu dilihat dapat menjimatkan masa, selain lebih selamat dan selaras dengan aspirasi PUSPAKOM untuk mendigitalisasikan sepenuhnya urusan di agensi berkenaan.

Katanya, pelanggan boleh membuat bayaran secara dalam talian iaitu melalui pilihan e-dompet, kad debit atau kad kredit.

“Kami yakin urus niaga tanpa tunai ini akan melancarkan proses dan operasi pemeriksaan malah ia sudah dilaksanakan sejak April tahun lalu iaitu pembayaran tanpa tunai serta pengeluaran laporan pemeriksaan dan resit secara elektronik tanpa kertas.



“Bagaimanapun, ketika itu pembayaran secara tunai masih lagi dibenarkan atas pertimbangan masih ada sebilangan kecil pelanggan yang tidak memiliki e-dompet, kad debit atau kredit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Shukor berkata, data PUSPAKOM menunjukkan lebih 90 peratus pelanggan menggunakan kaedah transaksi tanpa tunai di semua cawangan.

Katanya, ia jelas menunjukkan kaedah pembayaran tanpa tunai ini menjadi pilihan kerana ia lebih mudah, cepat serta lebih selamat.

“PUSPAKOM kini menerima pembayaran melalui pelbagai pilihan e-dompet termasuk PUSPAKOM e-wallet, Maybank QRPay, GrabPay, Touch ‘n Go eWallet, Boost, WeChat Pay dan Alipay di semua pusat pemeriksaan PUSPAKOM seluruh negara.



“Untuk makluman, pihaknya mula menerima pembayaran secara dalam talian sejak 2017 antaranya melalui kad debit atau kredit, FPX dan PUSPAKOM e-wallet bagi semua janji temu pemeriksaan kenderaan yang dibuat melalui sistem MyPUSPAKOM.

“Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan PUSPAKOM di talian 03-5101 7000 atau Live Chat di www.puspakom.com.my atau mengikuti Facebook rasmi PUSPAKOM Sdn Bhd,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker