Belgium belasah Poland 6-1 di Brussels

PARIS: Belgium yang tewas pada perlawanan pembukaan Liga Negara-Negara UEFA kepada Belanda, bangkit membelasah Poland 6-1 di Brussels.

Skuad kendalian Roberto Martinez itu meledak lima gol dalam tempoh 30 minit selepas dikejutkan dengan jaringan pelawat menerusi Robert Lewandowski pada minit ke-28.

Penyerang Bayern Munich itu memanfaatkan hantaran Piotr Zielinski untuk menewaskan Simon Mignolet bagi gol ke-22 dirinya untuk kelab dan negara sepanjang tahun ini.

“Ia membawa emosi berbeza apabila anda tewas kepada seteru anda jadi malam ini kami lebih bersemangat. Menentang Belanda kami lebih pasif, menunggu, tidak yakin. Sekarang kami bermain sebagai satu pasukan,” kata Martinez.

Tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi Axel Witsel tiga minit sebelum rehat dan mendahului permainan hasil jaringan minit ke-59 Kevin de Bruyne.

Pemain gantian Leandro Trossard meledak dua kali dalam tempoh tujuh minit disusuli jaringan antarabangsa pertama Leander Dendoncker (m-83) dan gol minit terakhir Lois Openda yang dimasukkan Martinez ketika permainan berbaki enam minit.

Belgium kini di tangga kedua di bawah Belanda dalam saingan Kumpulan A4, dan mengatasi Poland berdasarkan perbezaan jaringan.

Dalam saingan Piala Dunia Qatar November ini, Belgium diundi bersama Kanada, Maghribi dan naib juara 2018 Croatia. Poland berdepan Mexico, Arab Saudi dan Argentina.

AFP

Leave a Reply