Ducati Malaysia perkenal enam model baharu

KUALA LUMPUR: Ducati Malaysia mengumumkan pelancaran enam model baharu untuk tahun ini dan penubuhan dua lagi Pusat Ducati eksklusif di Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Ia turut memperkenalkan kemudahan Ducati Corse Credit serba baharu untuk pembelian motosikal Ducati baharu.

Ketua Syarikat Ducati Malaysia dan Next Bike Sdn Bhd, Dennis Michael, berkata pengalaman Ducati melambangkan bukan sahaja prestasi dan keseronokan menunggang tetapi ia juga telah berkembang untuk mempengaruhi dan membentuk gaya hidup.

“Ducati Malaysia berada dalam kedudukan yang lebih kukuh hari ini dan pelancaran enam motosikal baharu ini menggariskan komitmen syarikat yang berterusan dan keterujaan yang kami miliki dalam jenama itu dalam usaha untuk menempatkannya sebagai motosikal premium yang paling diingini dalam pasaran,” katanya pada pelancaran itu.



Mengenai Ducati Corse Credit, katanya ia akan memberikan lebih banyak pilihan, kebolehcapaian dan kemudahan kepada pelanggan dengan menyediakan kemudahan pembiayaan dalaman untuk pembelian semua motosikal baharu Ducati.

Beliau berkata, penubuhan Pusat Ducati baharu akan mengukuhkan rangkaian sedia ada Ducati Malaysia, yang termasuk kemudahan di Sungai Buloh dan Pulau Pinang serta pusat 3S bertauliah terbesar dan bilik pameran Ducati kedua terbesar di Asia Tenggara di Petaling Jaya.

Pada acara itu, artis tempatan Alif Satar, yang kini memiliki dua motosikal Ducati, memberitahu Bernama bahawa beliau telah menjadi pengguna motosikal Ducati selama hampir 14 tahun.

“Sebagai pemilik dan pengguna motosikal itu, saya mendapati pengalaman pemanduan berbeza berbanding motosikal lain. Saya menggemari motosikal itu dan menggunakannya untuk bekerja serta bersantai,” katanya.



Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings, Datuk Nik Hamdam Nik Hassan dan Naib Presiden Ducati Asia Pasifik untuk Jualan dan Pemasaran, Marco Biondi.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker