Perkeso NS keluar 49 kompaun bernilai RM45,000

Seremban: Sebanyak 49 kompaun bernilai RM45,000 dikeluarkan Penguatkuasa Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam Ops Kesan di daerah ini, semalam.

Pengarah Perkeso Negeri Sembilan, Fuad Alias berkata, dalam pemeriksaan bermula 10.30 pagi itu, pihaknya memeriksa sebanyak 228 premis di sekitar Senawang.

“Bagi kesalahan mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Caruman di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800), sebanyak 49 kompaun bernilai RM45,000 dikeluarkan.

“Bagi kesalahan mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789), kami membuat semakan terhadap 56 individu sebelum mengeluarkan 12 notis amaran kerana gagal mendaftar bekerja sendiri di bawah sektor e-hailing dan p-hailing,” katanya.

Beliau berkata, sehingga 31 Disember 2021, statistik menunjukkan sebanyak 38,985 majikan aktif mendaftar di bawah Akta 4 dengan seramai 250,465 pekerja sedang mendapat perlindungan Perkeso di Negeri Sembilan.

“Bagaimanapun, pihak Perkeso percaya masih ada majikan yang menggaji pekerja tetapi belum mendaftar terutamanya majikan baharu dalam industri.

“Sepanjang tempoh pemutihan mulai 1 hingga 31 Mei lalu sejumlah 224 majikan baru tampil mendaftar.

“Ini merekodkan peningkatan yang memberangsangkan sebanyak 30 peratus berbanding bilangan majikan mendaftar pada bulan sebelumnya (April 2022) iaitu sebanyak 173 majikan,” katanya.

Tambah beliau, di bawah Akta 789, sebanyak 5,867 individu bekerja sendiri berdaftar di bawah sektor e-hailing dan p-hailing sehingga Disember 2021.

“Dalam tempoh pemutihan, Perkeso Negeri Sembilan merekodkan 976 individu bekerja sendiri mendaftar berbanding April iaitu sebanyak 729 menunjukkan peningkatan sebanyak 34 peratus hasil kempen pemutihan itu,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker