Video hisap dadah tular di FB

TELUK INTAN: Aksi menagih dadah yang dimuat naik menerusi satu rakaman video di laman Facebook membawa kepada penahanan seorang lelaki di Chenderong Balai, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata berdasarkan rakaman itu yang dimuat naik di akaun ‘I Love Teluk Intan,’ polis menahan suspek berumur 46 tahun di sebuah rumah di Jalan Dato’ Haji Yusof Maidin, Chenderong Balai, pada kira-kira jam 5 petang.

Katanya, pihaknya turut merampas empat plastik lutsinar berisi dadah dipercayai heroin seberat 27.75 gram bernilai RM832.50 yang dijumpai dalam beg sandang di bahu suspek.

“Penahanan dilakukan susulan video tular aktiviti menghisap dadah oleh seorang lelaki di laman Facebook. Suspek mengaku mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki dikenali sebagai ‘Apoi’ di kawasan Pekan Langkap.

“Usaha mengesan pengedar berkenaan sedang giat dilakukan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Ahmad Adnan berkata, ujian awal saringan air kencing mendapati suspek positif morfin dan semakan turut mendapati lelaki itu mempunyai 16 rekod kesalahan lampau.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.

Terdahulu satu rakaman video tular di Facebook memaparkan sorang lelaki dipercayai sedang menghisap dadah yang dirakam seorang individu.

Hantaran yang dimuat naik bersama video itu mendakwa lelaki berkenaan adalah tokan dadah di Chenderong Balai dan menjual dadah kepada budak bawah usia.

BHOnline

Leave a Reply