Polis ambil keterangan tujuh individu kes rebut anak

KEPALA BATAS – Polis sudah selesai merakam keterangan keluarga di kedua-dua belah pihak berhubung kes perebutan anak sehingga tular di media sosial Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, kertas siasatan kes itu dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Kita sudah selesai ambil keterangan tujuh individu dalam kes ini membabitkan kanak-kanak itu sendiri (mangsa), ibunya, adik lelaki (pakcik mangsa), nenek (sebelah ibu) dan pemandu mereka.



“Pada masa sama, kita turut selesai mengambil keterangan datuk dan nenek mangsa (sebelah bapa) untuk tindakan selanjutnya.

“Ketika ini mangsa (kanak-kanak) berada di Selangor bersama ibunya. Soal hak jagaan anak pula masih di peringkat perbicaraan di mahkamah,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes berkenaan di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dibawa lari ibunya di hadapan sebuah sekolah, di sini hingga rata-rata individu menyangkakan ia adalah kes culik.

Polis kemudian mengesahkan bahawa ia bukan insiden penculikan sebaliknya kes perebutan anak.



Dua video mengenai kejadian itu tular di media sosial menunjukkan seorang wanita tersembam atas jalan ketika mahu mendapatkan kanak-kanak berkenaan, manakala satu lagi video menunjukkan seorang lelaki berlari ke arah kereta yang mengambil kanak-kanak itu.

© Harian Metro 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button