Rela jual kereta tersayang!

Kota Bharu: Insiden ditimpa pokok lebih 20 tahun lalu menjadi igauan ngeri buat bapa kepada seorang anak kerana mengalami kecacatan kekal selepas lumpuh dari paras pinggang ke bawah.

Azemi Ismail, 47, berkata kejadian itu juga menyebabkan dia terlantar hampir 10 tahun akibat kecederaan pada bahagian pinggang dan keadaan dirinya masih tidak berubah sehingga kini walaupun sudah beberapa kali menjalani rawatan termasuk secara tradisional.

Katanya, walaupun bergelar orang kurang upaya (OKU), ia bukan alasan untuk tidak melakukan apa-apa dan menyalahkan takdir, sebaliknya perlu berusaha untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Sejak lebih setahun lalu, saya mengusahakan kedai runcit untuk menyara diri, isteri serta seorang anak walaupun perlu bergantung sepenuhnya dengan kerusi roda untuk bergerak.

“Sebolehnya saya tidak mahu mengharapkan sepenuhnya dengan wang bantuan, tetapi berusaha sendiri sekali gus membuktikan golongan OKU juga mampu berjaya dan berdiri di atas kaki sendiri.

“Sebelum mengusahakan kedai runcit, saya pernah membuka kedai telefon bimbit serta mempunyai empat cawangan di sekitar Kota Bharu dan Machang, namun terpaksa ditutup disebabkan beberapa kekangan,” katanya ketika ditemui di kedai runcitnya di Kampung Paya Lada di sini.

Menurutnya, dia kemudian cuba bangkit dengan membuka kedai makan namun tidak berjaya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan Covid-19 pada Mac 2020.

“Atas rasa cekal, saya menggunakan duit simpanan selain terpaksa menjual kereta kesayangan untuk digunakan sebagai modal membuka kedai runcit ini pada awal tahun lalu.

“Walaupun tidaklah sebesar mana pun, tetapi saya bangga kerana dapat mengusahakan kedai runcit ini sendiri,” katanya.

Anak kedua daripada tujuh beradik itu berkata, kekurangan diri tidak sesekali menjadi penghalang untuk dia berdikari seperti insan normal dan perniagaannya turut dibantu dua pekerja.

“Jika saya boleh, tidak mustahil OKU lain juga mampu berjaya dengan syarat mereka ada kesungguhan dan usaha untuk mengubah nasib diri sendiri,” katanya yang turut mendapat sokongan isterinya, Wan Norsyahira Wan Mustopha, 29.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker