Sarabia cetus kemenangan sulung Sepanyol

GENEVA: Sepanyol merakam kemenangan pertama dalam kempen Liga Negara-Negara UEFA menerusi jaringan awal Pablo Sarabia ketika menewaskan Switzerland 1-0.

Sarabia memanfaatkan kesilapan pertahanan Switzerland untuk meletakkan skuad kendalian Luis Enrique di depan dalam aksi di Geneva.

Kemenangan itu hadir selepas mereka diikat 1-1 di laman sendiri oleh Portugal dan memerlukan gol minit terakhir untuk seri 2-2 di Republik Czech hujung minggu lalu.

Switzerland tewas buat kali ketiga berturut-turut selepas diatasi Republik Czech 2-1 dan dibelasah Portugal 4-0 dengan Cristiano Ronaldo meledak dua kali.

Ia adalah kekalahan pertama mereka di laman sendiri dalam saingan kompetitif sejak lapan tahun lalu, membabitkan 23 perlawanan tanpa sebarang kekalahan.

Sepanyol berada di tangga kedua Kumpulan A2, dua mata di belakang Portugal manakala Switzerland di tangga tercorot, empat mata di belakang Republik Czech.

“Saya rasa keseimbangan perlawanan amat positif dan ia membolehkan kami untuk menguasainya. Kami berhak dengan kemenangan ini,” kata Enrique.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker