Sanusi mohon kes dipindah ke mahkahmah tinggi

Oleh – Syeikh Baran


Sanusi mohon kes dipindah ke mahkahmah tinggi

Perbicaraan kes Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan yang sepatutnya bermula Khamis ini telah ditangguhkan.

Selain itu, peguam bela, Awang Armadajaya Awang Mahmud turut memaklumkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Kedah itu juga telah memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu daripada Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

DISERAHKAN

“Permohonan untuk pindah kes telah difailkan semalam (15 Januari) dan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara hari ini.

“Bagi penangguhan pula, kami telah menghantar surat kepada Mahkamah untuk menangguhkan perbicaraan tersebut kerana anak guam perlu ke luar negara atas urusan rasmi,” ujar peguam terbabit.

Sehubungan itu, Awang Armadajaya memaklumkan bahawa hari pertama perbicaraan pada Khamis ini telah ditukar kepada prosiding sebutan.

Tambahnya, mahkamah juga membenarkan pengecualian kehadiran Muhammad Sanusi pada sebutan tersebut.

Menurut notis usul yang difailkan, Muhammad Sanusi memohon untuk kes beliau dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam atas alasan antaranya ia akan memudahkan pihak-pihak untuk merujuk kepada persoalan undang-undang yang rumit yang akan ditimbul semasa perbicaraan.

Selain itu, intipati perbicaraan merujuk kepada Sultan Selangor dan Yang Dipertuan Agong yang mana satu perbicaraan yang berpatutan dan saksama tidak dapat dijalankan di mana-mana mahkamah jenayah yang lebih rendah.

Pengurusan kes bagi permohonan pindah kes itu ditetapkan pada 24 Januari ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pada 18 Julai 2023, Muhammad Sanusi didakwa atas tuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut berhubung tindakan Sultan Selangor melantik Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar.

Muhammad Sanusi, 49, yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional didakwa atas tuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut berhubung titah Yang di-Pertuan Agong kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 11 malam, 11 Julai lalu di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara, Gombak dekat sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding terdahulu, pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd. Daud memaklumkan pihaknya akan memanggil 10 orang saksi untuk memberi keterangan.

Sumber – UTUSAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker