Harga ayam segar masih tidak seragam

Kuala Lumpur: Peningkatan harga ayam segar mengakibatkan peniaga tidak dapat menyeragamkan harga disebabkan bekalan diperoleh daripada pembekal berbeza.

Tinjauan di Pasar Chow Kit, di sini, mendapati peniaga menjual ayam segar dengan harga antara RM10.50 hingga RM11 sekilogram (kg).

Peniaga ayam segar, Ghani Sazali, 60, berkata, harga ayam tidak dapat diseragamkan kerana peniaga mendapat bekalan daripada pembekal berbeza.

“Sekarang ini ayam segar datang dalam lingkungan harga RM9.20 hingga RM9.50 kg. Saya sebagai peniaga terpaksa menjual ayam pada harga RM10.50 kg.

“Apa yang saya nampak memang tiada penurunan harga ayam langsung sejak dua bulan lalu, sebaliknya kekal meningkat pada peringkat pembekal.

“Kami (peniaga) dimaklumkan peningkatan harga ayam segar disebabkan ayam di ladang kecil dan tidak cukup bulan. Ayam yang kami terima hanyalah seberat 1.6 kilogram secara purata,” katanya ketika ditemui di pasar terbabit, hari ini.

Berbeza pula dengan peniaga ayam lain, Putra Edi, 26, yang menjual ayam segar dengan harga RM11 kg kerana bekalan dari pasar borong diperolehnya tidak mencukupi selain harganya tinggi.

“Disebabkan isu bekalan ayam segar tidak mencukupi, pihak kami hanya menerima stok sebanyak 20 hingga 30 ayam sehari.

“Pihak pembekal tidak memaklumkan kepada kami punca bekalan tidak mencukupi dan isu ini seolah-olah tiada jalan penyelesaian daripada mereka,” katanya.

Sementara itu, hasil tinjauan ke atas daging import mendapati peningkatan harga sebanyak RM1 menjadikan daging berkenaan dijual pada harga RM20 hingga RM21 kg.

Peniaga daging, Adi Sarudin, 49, berkata, peningkatan harga ini berlaku sejak seminggu lalu walaupun bekalan daging sentiasa mencukupi di pasaran.

Menurutnya, jualan daging ketika ini perlahan disebabkan kurang permintaan daripada pelanggan terutama yang mengusahakan restoran.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker