Kelantangan Rafizi buka cabaran baharu

Keputusan Pilihan Raya Umum (PRU-14) menyaksikan buat kali pertamanya UMNO-Barisan Nasional (BN) tumbang daripada tampuk kekuasaan selepas lebih 60 berada di puncak kuasa.

Antara faktor keyakinan rakyat goyah terhadap kerajaan menjelang pilihan raya itu adalah kerana terdapatnya pelbagai pembongkaran isu salah laku dalam urus tadbir kerajaan ketika itu.

Rafizi Ramli yang baru-baru ini memenangi jawatan Timbalan Presiden pada Pemilihan PKR 2022 melalui kiraan tidak rasmi, menjadi antara aktor paling lantang mengangkat isu berkenaan dalam setiap kempen dan gerak kerja politiknya. Rafizi juga dianggap sebagai pusat maklumat pembangkang yang berjaya menggoyahkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Meskipun tidak semua isu diketengahkan Rafizi berasas atau tepat, dalam politik isu dan sentimen diulang siar secara kerap mampu mengajak rakyat berfikir sebelum sesuatu pilihan dibuat di peti undi.

Justeru, kemenangan Rafizi merebut jawatan Timbalan Presiden dengan menewaskan seorang lagi calon, iaitu Setiausaha Agung PKR yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mampu memperkuatkan kembali PKR.

Keputusan pemilihan juga menunjukkan beberapa pemimpin kanan parti tewas dalam saingan merebut jawatan Naib Presiden PKR yang dimenangi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (38,894 undi).

Kemenangan itu menjadi isyarat jelas anggota akar umbi mahu PKR kembali semula ke landasan reformasi. Ia juga menjadikan strategi meyakinkan rakyat sebagai formula kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu harus dikembalikan, manakala sebarang bentuk jajaran politik baharu melalui pendekatan khemah besar perlu ditolak.

Ia sepatutnya menjadi landasan kepada memperkuatkan kerjasama politik membabitkan PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH), DAP dan beberapa parti lain sekiranya Pakatan Harapan (PH) mahu mengimbangi kebangkitan semula UMNO-BN.

Pada masa sama, kemenangan Rafizi tidak sepatutnya dianggap sebagai ancaman kepada pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam parti. Gandingan Anwar-Rafizi perlu menjadi kekuatan baharu kepada PKR dalam menghadapi PRU-15.

Apatah lagi, kemenangan Rafizi itu turut disokong Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, sekali gus menjadi pilihan terbaik akar umbi membentuk pemimpin pelapis muda dalam PKR.

Hakikatnya, perjuangan politik atas landasan kesetiaan kepada pemimpin semata-mata tidak akan membawa pembaharuan kepada PKR. Atas faktor itu, akar umbi memberikan kemenangan kepada Rafizi dengan hasrat mengembalikan semula parti itu ke landasan reformasi yang sebelum ini dilihat agak kendur.

Kemenangan Rafizi yang bersikap lantang itu juga sebenarnya membuka cabaran baharu dalam saf kepemimpinan PKR. Hal ini kerana umum mengetahui Rafizi dan Anwar mempunyai pendekatan politik berbeza.

Justeru, ‘pertembungan’ ideologi antara Anwar dan kelompok pimpinan muda yang baharu, seharusnya ditangani secara berhemah. Oleh itu, Anwar sendiri perlu bersedia menerima secara terbuka idea baharu bagi memastikan PKR terus kekal relevan.

Kelompok ‘pro-Anwar’ yang kalah dalam pemilihan harus bersama menyokong saf kepemimpinan baharu dan membuang persepsi Rafizi sebagai ancaman kepada parti. Turut bersama Rafizi adalah Nurul Izzah yang sebelum ini dijulang parti itu sebagai puteri reformasi.

Sudah tentu mustahil kehadiran Nurul Izzah bersama Rafizi bertujuan mahu menggugat kuasa dan pengaruh bapanya dalam parti, sebaliknya kumpulan itu menawarkan pendekatan politik baharu bukan sahaja kepada PKR, bahkan PH sendiri.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker