Laporan penuh kes Muhammad Adib, Pulau Batu Puteh Ogos depan

Putrajaya: Laporan penuh pasukan petugas khas yang menjalankan siasatan dan kajian terhadap kes kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim akan diketahui Ogos hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan juga akan menerima laporan berkenaan isu dan tindakan perundangan kes Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh serta siasatan dakwaan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam bukunya, sekitar tempoh sama.

“Kita sudah bagi enam bulan sejak mereka dilantik pada penghujung Disember lalu bagi mengkaji tiga kes terbabit. Jawatankuasa khas ada laporkan kepada jemaah menteri selepas tiga bulan melaksanakan kajian.

“Jawatankuasa minta untuk sambung lagi bagi pihak mereka memperhalusi serta meneliti dengan terperinci sebaiknya laporan terbabit,” katanya menerusi sidang media di Bangunan Hal Ehwal Undang-Undang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi menegaskan, tempoh lanjut diperlukan bagi kerja penterjemahan berikutan ada laporan yang ditulis dalam bahasa Inggeris.

“Tempoh sebulan diperlukan untuk terjemahan dan kita akan bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang mempunyai kepakaran menterjemah dalam pelbagai bidang demi memastikan tiada kesalahan yang berlaku sekiranya terjemahan selesai dilaksanakan,” katanya.

Selain itu beliau berkata, laporan memerlukan sedikit masa berikutan pihak jawatankuasa siasatan juga berhadapan masalah saksi dan perolehan dokumen.

“Ada kes contoh di mana kita minta dokumen daripada pihak individu tertentu yang menyimpan kertas dokumen yang tak mampu diperoleh secara serta-merta.

“Malah kita turut berdepan masalah saksi, ada yang sudah ke luar negara. Kalau saksi tak mahu balik secara sukarela, kita akan bawa kepada Perdana Menteri dan barisan Kabinet, sebab itu kita tangguhkan sehingga Ogos supaya laporan itu dapat dilengkapkan.

“Kita juga menggunakan semua kepakaran dari dalam dan luar negara seperti contoh siasatan kes Pulau Batu Puteh, kita ada menggunakan khidmat pakar dari The Hague, Belanda dan England. Kita sepatutnya boleh dapat laporan menjelang Ogos,” katanya.

Sebelum ini Wan Junaidi memaklumkan laporan akhir siasatan kes kematian Muhammad Adib akan dibentang kepada Kabinet pada bulan ini.

Adib, cedera ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018 dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018, selepas berjuang untuk hidup selama 21 hari.

Bagi semakan semula undang-undang berkenaan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, pasukan petugas khas dipengerusikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sudah mengemuka dan membentangkan laporan interim mereka pada penghujung April lalu.

METRO

Leave a Reply