Pertemuan 112 kereta Lamborghini pecah rekod MBR

Kuala Lumpur: Kehadiran sebanyak 112 kenderaan Lamborghini di sebuah hotel di ibu negara, kelmarin berjaya memecah rekod paling banyak berkumpul dalam satu acara Malaysia Book of Records (MBR), sekali gus memadam rekod sebanyak 77 kenderaan jenama sama pada 2013 lalu.

Presiden Pemilik Lamborghini Malaysia (LOM) Datuk Roslan Rosdi berkata, acara berkenaan diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-50 jenama itu dan ia sebagai satu pencapaian dalam sejarah kelab seiring dengan ciri keindahan rekaan dan prestasi supercar dari Itali itu.

“Ia mengambil masa selama tiga bulan untuk merancang program ini yang mendapat sokongan sepenuhnya daripada semua ahli kelab.

“Tidak hanya untuk mencatatkan rekod, malah kami juga membantu dalam mengumpulkan dana untuk disumbangkan kepada empat badan kebajikan terpilih,” katanya.



Turut hadir ialah Duta Itali ke Malaysia, Massimo Rustico.

Sebaik acara berakhir, semua 112 supercar terbabit dilepaskan untuk sesi konvoi pemanduan ke Bukit Tinggi, Pahang.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur LOM, Datuk Rakesh Sachdev berkata, sebagai mengiktiraf peristiwa bersejarah itu, pihaknya menganjurkan majlis makan malam gala Bulls Ball sebagai penghormatan kepada ahli kelab.

“Program ini mendapat sambutan memberangsangkan kerana ia peluang yang jarang berlaku untuk kami semua berkumpul.



“Ia juga sebagai meraikan ahli kelab yang hadir bagi menjayakan rekod terbaharu dalam semangat dan gaya sebenar Lamborghini,” katanya.

Antara model unik Lamborghini yang turut serta ialah Gallardo Malaysia Limited Edition yang hanya dihasilkan sebanyak 20 unit selain Murcielago, Huracan Spyder, Aventador SVJ dan kenderaan utiliti sukan (SUV) Urus.

Ditubuhkkan pada 2014, LOM bermula dengan 50 ahli berdaftar dan kini sudah mencapai 150 ahli secara keseluruhan.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker