PM ajak umat Islam amal Tasamuh dalam kehidupan

JOHOR BAHRU: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak masyarakat Islam negara ini supaya mengamalkan konsep Tasamuh atau ‘toleransi’ dalam kehidupan harian mereka.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, mana-mana budaya yang tidak bertentangan dengan akidah Islam boleh disantuni tanpa sebarang stigma dan diskriminasi.

Katanya, Tasamuh adalah perkataan Bahasa Arab yang bermaksud ‘toleransi ‘atau ‘berlapang dada’.



Dalam maksud yang lain, Tasamuh adalah bersikap menerima dan damai terhadap sebarang keadaan yang dihadapi.

“Konsep Tasamuh menekankan nilai toleransi dan kebersamaan, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang mampu menjadikan masyarakat di negara ini menghargai dan memahami nilai perbezaan.

“Misalnya toleransi dalam agama ialah sikap saling menghormati hak dan kewajipan antara agama.

“Tidak hanya urusan ibadah sahaja yang diatur oleh Islam, kehidupan sosial juga ada aturannya dan salah satunya adalah anjuran untuk bersikap Tasamuh dalam bermasyarakat.



“Tasamuh adalah istilah yang terkait dengan akhlak terpuji. Dalam Islam, ada banyak sikap dan perbuatan baik yang harus diterapkan dalam hidup.

“Bagi negara yang memiliki bangsa dan budaya yang majmuk seperti Malaysia, sikap toleransi atau Tasamuh sangat penting sebagai alat menyatupadukan kita semua,” katanya ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2022 di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar, malam ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Dalam pada itu, Ismail Sabri, berkata bersesuaian dengan tema Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan tahun ini iaitu Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti, ia menjadi titik tolak bagi melahirkan generasi yang berpegang kepada al-Quran dan as Sunnah untuk membentuk sebuah negara yang harmoni.



Katanya, mempelajari al-Quran adalah satu kewajipan dan bukan hanya setakat mempelajari cara membaca dan hukum tajwid semata-mata.

“Amat rugi jika kita tidak mempelajari dan memahami maksud yang terkandung dalam setiap 114 surahnya.

“Malah dengan kecanggihan kemajuan teknologi, tiada alasan lagi untuk kita tidak meluangkan masa mendengar atau membaca al-Quran.

“Ini kerana terdapat aplikasi al-Quran digital yang boleh dimuat naik dalam peranti seperti telefon pintar, tablet atau komputer riba.Maka, peluang keemasan seperti ini perlu diambil olehseluruh umat Islam dalam mempertingkatkan amal ibadah kepada Allah SWT,” katanya.



MTHQK 2022 dijadualkan berlangsung selama enam hari bermula esok sehingga Sabtu ini di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar.

Seramai 110 peserta dari seluruh negara menyerrai MTHQK 2022 dengan 29 orang menyertai Majlis Tilawah al-Quran manakala 81 orang lagi menyertai Majlis Hafazan al-Quran.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pula berkenan untuk berangkat ke majlis perasmian penutup dan pengurniaan hadiah MTHQK Johor 2022 yang diadakan jam 8 malam, 17 Jun di lokasi sama.

Siaran langsung Majlis Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan boleh diikuti di TV Alhijrah dan FB JAKIM, manakala siaran langsung Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan pula disiarkan TV1.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button