Tiga sahabat ke tali gantung

Kota Bharu: Tiga sahabat dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine pada Mac 2018.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap ketiga-tiga tertuduh, Mohd Nazri Mohamed, 38, Mat Zainudin Mansor, 38, dan Ismail Jusoh, 47, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Wan Ahmad Farid dalam alasan penghakiman berkata, ketika serbuan dilakukan pihak polis, kesemua tertuduh berada di wakaf berkenaan dan melarikan diri.



Katanya, alasan yang diberikan tertuduh iaitu baru sampai di lokasi selain tidak tahu berkaitan barang kes tidak boleh diterima.

“Mahkamah menjatuhkan hukuman (gantung sampai mati) ini selepas mendapati keterangan kesemua tertuduh tidak boleh dipercayai,” katanya.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat kira-kira 134.6 gram di sebuah wakaf di tepi jalan kawasan sawah padi di Kampung Bendang Keladi, Tanah Merah kira-kira jam 2.30 petang pada 21 Mac 2018.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Aka Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.



Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Anuar Wahab, dan kesemua tertuduh diwakili peguam masing-masing.

Sementara itu, kesemua tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara enam bulan atas pertuduhan memiliki racun iaitu 9.2 gram kafein pada Mac 2018.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih daripada satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, dalam pertuduhan pindaan, ketiga-tiga tertuduh masing-masing dijatuhi hukuman penjara enam bulan atas pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine di kawasan sawah padi Kampung Bendang Keladi, Tanah Merah kira-kira jam 1.15 tengah hari pada 21 Mac 2018.



Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berkenaan berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditahan.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button