Ahmad Faizal mohon maaf atas salah kata

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan sokongan pemain ke-12 kepada skuad Harimau Malaya pada kempen Kelayakan Piala Asia 2023 amat penting dan dihargai.

Justeru, beliau mendakwa kenyataannya mengenai sokongan penyokong menjadi antara faktor kekalahan kepada Bahrain 2-1 Sabtu lalu disalahertikan.

“Sorakan dan sokongan penyokong sebagai pemain ke-12 amat penting dan amat dihargai.

“(Bila dah kena balon, saya pun pening). Cakap2 bola saya sebelum ini telah disalah erti. Ampun dan maaf atas kesilapan saya,” ciapnya menerusi akaun Twitter.

Terdahulu, Ahmad Faizal tampil membela penjaga gol, Farizal Marlias susulan kesilapan dilakukannya hingga menyebabkan skuad kebangsaan tewas 1-2 kepada Bahrain dalam aksi kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Katanya, faktor luaran termasuk membabitkan lebih 63,000 penonton di stadium ketika perlawanan itu berlangsung juga harus diambil kira atas kekalahan itu apabila sorakan mereka secara tiba-tiba dilihat menyebabkan pemain skuad negara hilang fokus sewaktu perlawanan.

“Seingat saya, sejurus jaringan pertama pada aksi itu, kelihatan beberapa kelibat pemain di luar padang antaranya Guilherme De Paula, akan dimasukkan ketika itu yang menyebabkan seluruh stadium bersorak.

“Sorakan sedemikian menyebabkan pemain hilang fokus sekali gus menyebabkan skuad kita terlepas peluang menjaringkan gol. Jadi kalau hendak kata (kekalahan) disebabkan 100 peratus faktor pemain pun, sebenarnya kita sebagai penonton pun menyumbang kepada larinya fokus pemain.

“Kalau saya yang berada di atas padang ketika itu pun yang mana orang ramai tiba-tiba menjerit (bersorak), fokus saya pun akan hilang sedikit,” kata Ahmad Faizal selepas menyempurnakan majlis perasmian surau Al-Faizin Sekolah Kebangsaan (SK) Polis Hutan di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, di sini, semalam.

Sementara itu, Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, menyifatkan kenyataan Ahmad Faizal mengenai pemain Harimau Malaya hilang fokus kerana 63,000 penyokong bersorak ketika mendahului pasukan Bahrain 1-0 tidak wajar.

Menurutnya, kenyataan itu tidak matang dan seolah-olah tidak faham mengenai bola sepak.

“Kenapa penyokong perlu dipersalahkan? Kami hadir memberikan sokongan dan penyokong Ultra Malaya berjam-jam bersorak dan menyanyikan lagu semangat agar pemain terus mengekalkan rentak permainan sehingga tamat perlawanan.

“Awak duduk di bangku VVIP pun bersorak juga. Kenapa nak salahkan penyokong lain? Kalau tidak tahu membuat kenyataan, baik diam,” katanya dalam satu kenyataan.

Muqharabbin berkata, beliau memuji sikap semua penyokong yang hadir pada malam tersebut kerana walaupun hujan lebat dan meletakkan kenderaan hampir dua kilometer dari stadium, mereka tetap hadir memberikan sokongan padu dalam keadaan basah kuyup.

“Lagi-lagi ekor Harimau Malaya iaitu Ultra Malaya yang hadir seawal 5 petang mempersiapkan segala gendang perang agar dapat meningkatkan semangat pemain bola sepak negara.

“Apapun, pujian harus kita berikan kepada pasukan Harimau Malaya kerana berjaya memberikan aksi terbaik walaupun keadaan padang yang basah. “Banyak peningkatan yang dapat dilihat dan kita harus sama-sama doakan agar perlawanan menentang Bangladesh nanti, kita menang besar,” katanya.

BHOnline

Leave a Reply