Juara dunia tumbang di laman sendiri

PARIS: Penalti awal Luka Modric memberikan Croatia kemenangan 1-0 mengatasi Perancis di Paris awal pagi tadi ketika penyandang Piala Dunia itu menamatkan perlawanan Liga Negara-Negara UEFA bulan ini tanpa kemenangan dalam empat aksi.

Kapten veteran Croatia menyempurnakan sepakan hanya selepas lima minit di Stade de France dan tuan rumah tidak mampu mencari gol penyamaan walaupun Kylian Mbappe kembali untuk menyertai Karim Benzema dalam kesebelasan utama.

“Kami ada masalah berdepan Perancis selepas kemenangan mereka pada Piala Dunia, jadi untuk menang di Stade de France di depan hampir 80,000 penyokong berdepan juara dunia adalah sesuatu yang menakjubkan,” kata jurulatih Croatia, Zlatko Dalic.

Perancis menang edisi Liga Negara-Negara tahun lalu tetapi mereka kini hanya mengumpul dua mata daripada empat perlawanan bulan ini apabila kalah di laman sendiri kepada Denmark dan Croatia selain seri di tempat lawan bertemu Croatia dan Austria.

Disebabkan itu Les Bleus kini di kedudukan terbawah Kumpulan 1 League A, tujuh mata di belakang pendahulu Denmark yang menewaskan Austria 2-0 di Copenhagen dengan gol babak pertama Jonas Wind dan Andreas Skov Olsen.

Skuad kendalian Didier Deschamps kini perlu menang dua perlawanan terakhir kumpulan pada September untuk mengelak penyingkiran ke liga kurang popular Liga B.

Perlawanan berkenaan juga menjadi aksi terakhir sebelum mereka mula mempertahankan Piala Dunia menentang Australia di Qatar pada November.

“Ia bukanlah alasan tetapi kami kekurangan tenaga, kekuatan dan perwatakan,” kata Deschamps.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker