‘Laidlaw tidak menunjukkan sebarang kelayakan’-Mohd Ashrof

Kuala Lumpur: Peguam Diraja (QC) dari United Kingdom Jonathan Laidlaw tidak menunjukkan sebarang kelayakan atau pengalaman istimewa berkenaan undang-undang negara ini selain tidak berkelayakan dalam Bahasa Malaysia.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul menerusi afidavitnya yang difailkan hari ini bagi membantah permohonan Laidlaw untuk mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam rayuan akhirnya berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta membabitkan SRC International Sdn Bhd.

Mohd Ashrof mendakwa pemohon (Laidlaw) juga tidak memiliki pengetahuan lebih berbanding peguam tempatan untuk menghujahkan rayuan itu di Mahkamah Persekutuan.

“Dakwaan bahawa tiada peguam tempatan dengan kelayakan istimewa atau pengalaman adalah penuh ironi apabila dibandingkan dengan pemohon untuk membela pertuduhan pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan yang dihadapi Datuk Seri Najib, apabila pemohon sendiri tiada pengalaman untuk berhujah bagi pertuduhan itu di mahkamah Malaysia.



“Adalah sukar untuk difahami bagaimana pemohon sebagai seorang yang asing kepada undang-undang tempatan boleh dikatakan lebih lengkap dan layak daripada peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang sering hadir di hadapan semua peringkat mahkamah Malaysia untuk menghujahkan kes-kes sama seperti pertuduhan,” ujar Mohd Ashrof.

Dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan, Najib memohon untuk membatalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas satu pertuduhan salah guna kedudukan, tiga pertuduhan pecah amanah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan dana SRC International.

Dakwa Mohd Ashrof, Laidlaw juga tidak mempunyai kelayakan Bahasa Malaysia yang diperlukan di bawah subseksyen 11(2) Akta Profesion Undang-Undang (Akta 166) untuk berjaya dalam permohonan ad hoc di bawah Seksyen 18 akta sama.

“Pemohon bukan seorang berkelayakan untuk diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara ad hoc di bawah Akta 166.



“Saya menyatakan sekiranya mahkamah mengabaikan kedudukan politik perayu (Najib) dalam rayuan ini, kes itu akan menjadi seperti mana-mana rayuan jenayah lain yang tidak layak diberi sebarang pertimbangan istimewa untuk menerima masuk peguam asing untuk menghujahkan rayuan yang bakal didengar di Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Menurut Mohd Ashrof adalah sukar untuk diterima bahawa daripada 21,625 peguam bela dan peguam cara di Malaysia, tidak ada seorang pun yang memiliki kelayakan istimewa atau pengalaman untuk mengendalikan rayuan itu, kecuali pemohon.

“Fakta bahawa Tan Sri Muhammad Shafee telah mengendalikan perbicaraan Datuk Seri Najib di Mahkamah Rayuan adalah satu kenyataan yang jelas bahawa peguam kanan itu memiliki kelayakan istimewa dan pengalaman untuk mengendalikan rayuan berkaitan pertuduhan-pertuduhan berkenaan di Mahkamah Persekutuan.

“Pertuduhan di Mahkamah Persekutuan juga bukan pertuduhan baharu tetapi pertuduhan sama yang dikendalikan Tan Sri Muhammad Shafee di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Oleh itu, permohonan ini adalah tanpa merit dan hendaklah ditolak secara terus,” katanya.

Pada 25 Januari lalu, firma guaman Tetuan Shafee & Co telah menyerahkan surat kepada Sekretariat Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengenai hasrat Najib melantik QC untuk membantu beliau berhubung isu kompleks dan persoalan undang-undang dalam rayuan kes SRC di Mahkamah Persekutuan.

Pada 29 April lalu, Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari pada bulan Ogos untuk mendengar rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan penyelewengan dana syarikat itu.

Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Mahkamah Persekutuan adalah rayuan terakhir Najib terhadap sabitan dan hukumannya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker