Nigeria berpesta 10 gol belasah Sao Tome e Principe

JOHANNESBURG: Penyerang Napoli, Victor Osimhen meledak empat gol ketika Nigeria membelasah Sao Tome e Principe 10-0 di Maghribi awal pagi tadi untuk mencipta kemenangan terbesar dalam sejarah kelayakan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).

Kelayakan ke kejohanan dwitahunan itu dianjurkan sejak 1961 dan Ghana, Kenya serta Libya berkongsi rekod dengan lapan gol hingga dipecahkan Nigeria dalam aksi dekat Resort Atlantik di Agadir.

Nigeria mendahului 3-0 pada babak pertama Kumpulan A dan penjaring lain termasuk Terem Moffi (dua), kapten Moses Simon, Oghenekaro Etebo, Ademola Lookman dan Emmanuel Dennis.

Nigeria 153 anak tangga di atas Sao Tome dalam kedudukan dunia, jelas menjadikan aksi itu berat sebelah dan selepas agak seimbang pada babak pertama, ia bertukar menjadi latihan menjaringkan gol buat Super Eagles.

Nigeria memecahkan catatan terbanyak mereka dalam kelayakan AFCON dengan tujuh gol ketika mengatasi Burkina Faso pada 1991 dengan Rashidi Yekini meledak empat gol.

Ia adalah aksi di laman sendiri buat Sao Tome, namun mereka perlu berubah ke selatan Maghribi kerana negara kepulauan kecil itu tidak mempunyai stadium bertaraf antarabangsa.

Penjaga gol, Anastacio Braganca, seorang daripada beberapa pemain berpangkalan di negara sendiri, melepaskan 15 gol dalam dua perlawanan selepas Guinea-Bissau meledak lima gol minggu lalu.

Jaringan Osimhen ketika berdepan lawan kerdil itu membolehkannya mengetuai kedudukan penjaring terbanyak kelayakan AFCON 2023 dengan lima gol, satu melebihi Pemain Terbaik Afrika, Sadio Mane dari Senegal.

AFP

Leave a Reply