Nilai bitcoin jatuh mendadak

WASHINGTON: Bitcoin jatuh setinggi 14 peratus selepas syarikat pinjaman mata wang kripto Amerika Syarikat (AS), Celsius Network membekukan pengeluaran dan pemindahan akibat persekitaran pasaran yang ‘luar biasa’, memberikan isyarat terkini bahawa penurunan pasaran kewangan turut menjejaskan sektor itu.

Langkah Celsius itu mencetuskan penurunan dalam merentasi seluruh mata wang kripto, dengan nilai kesemuanya jatuh di bawah AS$1 trilion buat kali pertama sejak Januari 2021, sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa kejatuhan itu akan melimpah kepada aset lain atau menjejaskan syarikat lain.

“Hampir segala-galanya boleh menjadi sistemik dalam kripto … kerana seluruh ruangnya berdepan risiko berlebihan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Swan Bitcoin, Cory Klippsten.

Swan Bitcoin adalah platform simpanan bitcoin.

CEO Celsius, Alex Mashinsky dan syarikat itu sendiri tidak memberikan maklum balas kepada permintaan Reuters untuk mendapatkan kenyataan.

Celsius, syarikat berpangkalan di New Jersey, mempunyai aset kira-kira AS$11.8 bilion, menawarkan produk menanggung faedah kepada pelanggan yang mendepositkan mata wang kripto ke dalam platformnya.

Ia kemudian meminjamkan mata wang kripto untuk mendapatkan pulangan.

Selepas pengumuman Celcius dibuat, bitcoin mencecah paras terendah 18 bulan pada AS$22,725, sebelum meningkat sedikit ke sekitar AS$23,265.

Token kedua terbesar, ether, jatuh setinggi 18 peratus kepada AS$1,176, paras terendahnya sejak Januari 2021.

Syarikat yang terdedah kepada mata kripto sebelum ini memberikan amaran bahawa penurunan harga token boleh memberikan kesan buruk, termasuk mencetuskan panggilan margin.

“Ia masih lagi tempoh yang tidak selesa dan terdapat risiko penularan yang membelenggu pasaran kripto secara meluas,” kata Ketua Strategi Kewangan di firma pengurusan dana Solrise Finance, Joseph Edwards.

-Reuters

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker