Perlukan RM40,000 untuk atasi masalah sukar buang air kecil

Kuala Lumpur: Jika dilihat dari luaran, kanak-kanak lelaki ini seorang yang aktif tanpa sebarang penyakit.

Namun sebenarnya, Sean Meng Fan Lin, 5, menderita masalah saluran kencing sempit sejak dilahirkan.

Ibunya, Lim Lee Ping, 45, berkata, anak tunggalnya itu terpaksa menjalani dua pembedahan dengan kos RM40,000 dalam masa terdekat untuk membetulkan kedudukan saluran kencingnya.



Menurutnya, sejak Sean dilahirkan, dia sukar membuang air kecil memandangkan kedudukan saluran yang tidak normal.

“Pembedahan perlu dijalankan segera kerana sudah tertangguh susulan Covid-19 sejak dua tahun lalu.

“Doktor mengesahkan Sean mengalami penyakit sindrom turner dan hanya pembedahan boleh merawat masalah itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Lim berkata, dengan pekerjaannya yang tidak menentu menyebabkan dia buntu untuk mendapatkan wang bagi menampung kos pembedahan.



“Saya hanya bekerja sambilan sebagai tukang tilik nasib dengan pendapatan RM3,000 sebulan.

“Sebagai penanggung tunggal, saya tidak mampu menampung kos rawatan kerana pelbagai komitmen lain yang perlu dilangsaikan,” katanya.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada Media Prima Berhad dan The New Straits Times Press (NSTP) kerana membantu mendapatkan sumbangan bagi merawat anaknya.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan MEDIA PRIMA-NSTP menerusi akaun Maybank 5141-0532-3170.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button