Tepuk punggung selebriti, usahawan undang kritikan

Kuala Lumpur: “Kekayaan dunia yang mereka cari menjadikan mereka terus miskin. Moga Allah ampuni mereka.”

Itu status hantaran seorang pengguna Facebook yang merujuk kepada aksi tepuk punggung membabitkan empat selebriti dan usahawan iaitu penyanyi Ifa Raziah, Datuk Seri Vida, Kak KM dan Cheta Pot Pet.

Video dimuat naik Kak KM atau nama sebenarnya Liana Rosli di Instagram itu tular hingga mencetuskan kritikan dan amarah warganet.



Di ruangan komen ada yang menyebut mereka bagai hilang maruah dan segala teguran sebelum ini seperti tidak diendahkan.

Penyanyi juga artis versatil Ifa Raziah berkata, perlakuan mereka itu sekadar aksi tepuk manja dalam kalangan kawan-kawan.

“Itu namanya tepuk-tepuk manja dalam kalangan kawan-kawan yang lama tak jumpa. Tepuk amai-amai manja. Macamlah mereka (netizen) tak pernah bertepuk gurau senda dengan kawan mereka. Lagi pun semua kawan-kawan dan kami wanita. Lainlah kalau lelaki atau mana-mana jantan tepuk, itu lain cerita.

“Bila Kak KM buat macam tu, kami tak ada apa nak marah pun. Kami positif saja, sebab kami berkawan dan tak pernah saling menjatuhkan. Saya tahu Kak KM akan muat naik, tular dan mengundang caci maki serta marah,” katanya kepada Harian Metro.



Menurut Ifa, video yang dirakam selepas acara sidang media Minggu Usahawan Negara 2022 di Malaysian Grand Bazaar@Lalaport BBC yang bakal berlangsung pada 24-27 Jun itu hanya hiburan.

“Ini pun hiburan juga. Kalau tak, tak adalah hiburan. Netizen ni, cakap tak suka, siap maki hamun, tapi tengok juga. Mereka ‘follow’ juga nak tahu apa saya buat. Setiap hari jumlah yang menonton tu naik.

“Apa yang elok saya cakap dan buat, tak nak pula tularkan. Yang ‘bodoh’ macam ni pula ditularkan. Mereka pula yang tekanan tengok,” katanya.

Terdahulu, video dimuat naik Kak KM itu sudah mencecah lebih 271,000 tontonan dan lebih 400 komen.



Menerusi video itu, Kak KM yang mengenakan baju kebaya menepuk punggung tiga rakan usahawannya itu.

“Punggung siapa yang paling mencengkam sekali, kita tengok! Jadi siapa nak dapatkan punggung paling ‘aum’ sekali, korang kena datang,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button