Sekutu Jho Low, Eric Tan Kim Loong diisytihar bankrap

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini, mengisytiharkan Eric Tan Kim Loong yang didakwa sebagai sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, bankrap selepas gagal melunaskan cukai pendapatan RM68,334,219.01 kepada kerajaan.

Penolong Kanan Pendaftar Chai Guan Hock membuat keputusan itu ke atas Tan dan merekodkan perintah kebankrapan, selepas mendengar petisyen pemiutang yang difailkan kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap Tan pada 15 Disember 2021.

Peguam Hasil Cawangan Guaman Lembah Klang, Siti Maisarah Ab Rahim ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Berdasarkan petisyen pemiutang, kerajaan memohon satu perintah kebankrapan dibuat mengenai harta kepunyaan Tan, selaku penghutang kerana beliau berhutang dengan kerajaan sebanyak RM68,334,219.01 yang jumlah itu termasuk faedah dan kos dan itu tuntutan cukai pendapatan yang belum dibayar.



Petisyen itu menyatakan Tan dalam masa enam bulan sebelum tarikh penyerahan petisyen didakwa gagal mematuhi kehendak notis kebankrapan bertarikh 8 Jun 2021 yang dilanjutkan tempoh melalui perintah mahkamah bertarikh 30 Ogos 2021.

Notis kebankrapan itu diiklankan di News Straits Times pada 14 September 2021 serta ditampal di kediaman Tan pada 10 September 2021.

Pada 4 Mei 2021, Mahkamah Tinggi memerintahkan Tan membayar cukai pendapatan RM67,996,891.87 dan faedah pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi dan kos sebanyak RM2,000 kepada kerajaan, selepas gagal memasukkan kehadiran dalam saman difailkan kerajaan melalui LHDN.

Kerajaan selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui LHDN pada 15 Jan 2021 dengan menuntut Tan membayar tunggakan cukai berjumlah RM67,996,891.87 bagi tahun taksiran 2010 hingga 2013.



BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker