Stesen LRT sesak teruk lagi, ramai lewat masuk kerja

KUALA LUMPUR: Ramai penumpang yang menggunakan Transit Aliran Ringan (LRT) pagi ini terkandas akibat kesesakan luar biasa untuk pergi bekerja.

Kesesakan berlaku pada waktu puncak di Stesen Pasar Seni di sini berlaku kira-kira jam 8 pagi hingga 9 pagi tadi dan difahamkan perkara sama berlaku pagi semalam.

Kesesakan itu turut tular di media sosial selepas warga maya berkongsi keadaan di stesen LRT apabila ramai penumpang tidak dapat meneruskan perjalanan pergi bekerja dengan ada yang mengatakan hanya 50 peratus daripada semua pengguna LRT dapat sampai di tempat kerja.

Bagaimanapun, tinjauan di beberapa kawasan LRT sekitar di sini kira-kira jam 10:30 pagi tadi mendapati kawasan sesak yang tular di media sosial sudah pun lenggang.



 

Seorang pekerja di sebuah gerai di kawasan stesen LRT terbabit yang enggan dikenali berkata kawasan tersebut dipenuhi orang ramai sekitar jam 8 pagi.

“Memang ramai orang pagi tadi, lagi-lagi sekarang ini semua sudah bekerja di pejabat, jadi itu mungkin sebab kesesakan ini berlaku,” katanya dengan menambah kekerapan perkhidmatan tren berkurang kepada setiap 5 minit berbanding sebelumnya, setiap 3 minit.

“Keadaan di sini pagi tadi dikawal beberapa polis bantuan bagi mengelak kesesakan di platform,” katanya.

Sementara itu, tinjauan juga mendapati terdapat beberapa kerosakan eskalator di beberapa kawasan LRT juga menyebabkan kesesakan utama pada waktu puncak iaitu waktu pagi dan petang ketika orang ramai pergi dan pulang dari kerja.



Pekerja swasta, Avie Malinah Lampisung, 26, berkata kerosakan eskalator sangat membebankan lebih-lebih lagi pada waktu puncak ketika orang ramai terpaksa beratur panjang dan menyebabkan kesesakan kerana kawasan itu adalah laluan utama.

“Saya berharap agar pihak berkaitan melakukan pembaikan dengan cepat sebab keadaan ini sudah lama, …kerosakan berlaku sebelum PKP lagi,” katanya.

 

 

Seorang lagi pekerja swasta yang hanya mahu digelar Shahrul, 30, berkata diharapkan agar pihak Prasarana (Prasarana Malaysia Berhad) mencari jalan penyelesaian dengan segera bagi mengatasi kerosakan kemudahan itu kerana selain menjadi laluan utama pengguna,ia juga menjadi laluan utama untuk ke pusat beli belah sekitar ibu kota.

“Kasihan orang tua yang datang ke pusat beli belah, sebab bila eskalator rosak mereka terpaksa naik tangga dan ia tidak selamat untuk mereka,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker