Tiada niat minta simpati, mungkin ini rezeki anak

Petaling Jaya: “Saya tiada niat minta simpati namun ada yang ingin membantu, mungkin ini rezeki anak.

“Saya bersyukur kerana orang ramai mahu membantu, tak kan mahu menolak pula,” kata Razlan Roslan, 28.

Dia berkata demikian susulan rakaman video dia menidurkan anak perempuannya, Abby Nor Raziatul Adawiyah Ummaira, 3, beralaskan jaket keselamatannya di pondok pengawal sebuah pangsapuri di Bandar Sunway, tular di TikTok baru-baru ini.

Perkongsian video itu meruntun emosi netizen dengan rata-ratanya kasihan dan tersentuh melihat cara Razlan melayan anak perempuannya.



Ia menyebabkan ramai netizen tampil ingin membantunya.

Berkongsi kisahnya kepada Harian Metro, Razlan berkata, dia berhijrah ke Kuala Lumpur dari kampung halamannya di Batu Sapi, Sandakan, Sabah kira-kira enam tahun lalu.

“Saya pernah bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang dekat Kapar, Klang namun terpaksa berhenti apabila isteri (Megawati Nasib Ong) terpaksa pulang ke Sabah kerana ada urusan. Kami hanya mampu berhubung melalui panggilan telefon atau video sahaja. Isteri kadang-kadang menangis kerana terpaksa berjauhan begini.

“Saya baru seminggu bekerja sebagai pengawal keselamatan di sini disebabkan itu terpaksa membawa bersama Ummaira kerana anak masih tidak biasa dengan orang. Saya tiada pilihan.



“Bukan tidak mampu upah pengasuh atau minta ahli keluarga jagakan namun Ummaira mahu ikut sama ke tempat kerja. Jika ditinggalkan, dia menangis jadi saya bawa bersama. Alhamdulillah, pengurusan faham dan tidak menghalang,” katanya.

Menurut Razlan, buat masa ini, tugasnya tidak terganggu walaupun perlu membawa bersama Ummaira ke tempat kerja.

“Ummaira pandai membawa diri namun saya tetap memantaunya selain beri makan dan minum

“Penduduk di sini pun melayan anak saya dengan baik kerana ada ketikanya mereka beri makanan kepada Ummaira,” katanya.

 

 

@mentaricourt_ Respect sangat melihat keadaan ini.. biar pun tidak tahu cerita disebaliknya.. namun terlihat sebuah tanggunjawab 😭 #fyp #seorangayah #foryou ♬ Sholawat Sedih – Instrumental – Asraf Studio

 

Sementara itu, Ketua Pengurusan Keselamatan pangsapuri itu, Ahmadsaifudinkamalruf Junoh, 46, mengakui dia yang memuat naik video berkenaan di TikTok.

Bagaimanapun, Ahmad Saifudinkamaruf sudah meminta izin daripada Razlan sebelum memuat naik video berkenaan.

“Saya tahu keadaan Razlan selepas ternampak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika bertugas di pejabat minggu lalu. Ia membuatkan saya sebak dan ikutkan etika tidak benarkan kakitangan membawa anak ke tempat kerja namun atas dasar kemanusiaan, saya benarkan walaupun tahu ia salah.

“Setakat ini, tiada aduan atau rungutan diterima daripada penduduk namun saya sedia bertanggungjawab kerana saya yang memuat naik video itu. Segelintir penduduk juga melayan Ummaira sejak kisah itu tular kerana dia kanak-kanak yang manja dan mesra,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker