8 kontraktor didakwa tipu bida projek kerajaan RM473 juta

Oleh – Syeikh Baran


8 kontraktor didakwa tipu bida projek kerajaan RM473 juta
Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC)

Lapan kontraktor didakwa terbabit tipuan bida berkait projek pembinaan jalan dan tebatan banjir bernilai RM473 juta, lima tahun lalu.

Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) Hishamudin Yunus, berkata syarikat berkenaan terbabit dalam dua tender dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan satu tender Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).



Beliau berkata, semua syarikat diminta mengemukakan kenyataan bertulis dalam tempoh 30 hari bermula semalam, dan mereka boleh memilih untuk membentangkan kenyataan lisan kepada MyCC pada suatu tempoh yang akan ditentukan kemudian.

“Perlu ditekankan bahawa penemuan MyCC melalui keputusan cadangan adalah dapatan awal, maka tidak boleh diandaikan bahawa mana-mana perusahaan telah melanggar Akta Persaingan 2010 pada peringkat ini.

“Seperti yang diperuntukkan dalam akta, perusahaan-perusahaan ini juga telah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadangkan,” katanya dalam kenyataan yang dipetik portal FMT.

Beliau berkata, MyCC akan mengeluarkan keputusan akhir selepas mempertimbangkan representasi perusahaan bersama-sama bukti diperolehi hasil penyiasatan.



“Enam perusahaan iaitu Dutamesra Bina Sdn Bhd, IDX Multi Resources Sdn Bhd, Mangkubumi Sdn Bhd, Menang Idaman Sdn. Bhd, Meranti Budiman Sdn Bhd dan Pintas Utama Sdn Bhd berpakat dalam semua tiga tender tersebut.

“NYL Corporation Sdn Bhd terbabit dalam kedua-dua tender JKR dan Kiara Kilat Sdn Bhd pula hanya membabitkan satu daripada dua tender JKR,” katanya.

Sementara itu dalam satu kenyataan, MyCCC berkata keputusan cadangan itu dikeluarkan kepada lapan kontraktor berkenaan pada 16 April lalu atas pelanggaran Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 dan sudah disampaikan kepada pihak terbabit semalam.

Sumber – BERITA HARIAN




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading