Hakim tarik diri daripada dengar permohonan peguam UK wakili Najib

Kuala Lumpur: Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menarik diri daripada mendengar permohonan peguam kanan (QC) dari United Kingdom, Jonathan Laidlaw untuk diterima masuk bagi mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Wan Ahmad Farid berkata, beliau mengambil keputusan itu bagi mengelakkan kesangsian persepsi awam terhadap kebebasan Badan Kehakiman kerana salah seorang ahli keluarganya terbabit secara aktif dalam parti Umno.

Dalam keputusannya pada pengurusan kes hari ini, Wan Ahmad Farid berkata, persepsi awam terhadap kebebasan Badan Kehakiman tidak boleh diragui.

Hakim itu berkata, umum mengetahui bahawa sebelum dilantik sebagai Ahli Parlimen, beliau adalah ahli politik yang aktif dan pada suatu ketika pernah menjadi ahli pentadbiran dan Ahli Dewan Negara.

Katanya, ketika menyertai Badan Kehakiman, beliau telah meletak jawatan daripada parti politik yang pernah disertai dan selepas mengangkat sumpah sebagai anggota badan kehakiman, satu-satunya tugasnya ialah memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan tanpa rasa gentar atau pilih kasih.

“Bagaimanapun, saya perlu menyatakan di sini bahawa salah seorang ahli keluarga terdekat saya adalah ahli politik yang sangat aktif sebagai ketua bahagian dalam parti politik yang sama dengan perayu (Najib).

“Ia bukannya mengenai soal percubaan dan kesilapan kerana Badan Kehakiman yang bebas adalah anugerah paling berharga kepada mana-mana masyarakat.

“Apabila ia (kebebasan Badan Kehakiman) sudah tidak wujud, maka anarki akan berleluasa. Oleh itu, kebebasan Badan Kehakiman mesti dipertahankan walau dengan apa cara sekalipun.

“Atas sebab yang dinyatakan di atas, walaupun tiada permintaan dibuat oleh mana-mana pihak di sini (supaya saya menarik diri), saya menarik diri daripada mendengar saman usul pemula ini,” katanya.

Hakim itu berkata, beliau akan memaklumkan keputusannya kepada Hakim Pengurusan yang seterusnya akan menyampaikan perkara yang sama kepada Hakim Besar Malaya untuk arahan selanjutnya.

Laidlaw memfailkan permohonan supaya diterima masuk dan didaftarkan sebagai peguam bela dan peguam cara di Mahkamah Tinggi dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah melalui firma guamannya, mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan berkenaan.

Antara alasan dikemukakan Muhammad Shafee ialah peguam itu mempunyai kelayakan khas, pengalaman dan kepakaran yang tidak boleh didapati dalam kalangan peguam bela dan peguam cara di negara ini.

Ia berikutan rayuan terakhir kes SRC International membabitkan isu yang serius, kompleks dan novel iaitu cabang undang-undang jenayah dan sivil, amalan dan keterangan, hak perlembagaannya, cara pendakwaan dijalankan oleh pihak Pendakwa Raya, penghakiman kes mahkamah jenayah oleh mahkamah perbicaraan dan pentadbiran sistem Keadilan Jenayah.

Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker