Jokowi rombak Kabinet untuk kali ketiga

Jakarta: Presiden Indonesia Joko Widodo melakukan rombakan kecil Kabinet pada Rabu.

Ia langkah kali ketiga beliau dalam penggal kedua memegang jawatan.

Channel News Asia melaporkan dua menteri baharu dilantik termasuk Ketua Parti Amanat Nasional (PAN) Zulkifli Hasan kini menjadi Menteri Perdagangan menggantikan Muhammad Lutfi yang dikritik ramai susulan langkah kurang berkesan menguruskan bekalan minyak masak domestik, baru-baru ini.

Beliau sebelum ini adalah Menteri Perhutanan dari 2009 hingga 2014 di bawah bekas presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Joko Widodo, lebih dikenali sebagai Jokowi, turut melantik bekas panglima tentera Hadi Tjahjanto sebagai Menteri Hal Ehwal Pertanian dan Perancangan Tanah, menggantikan Sofyan Djalil.

Dalam rombakan kabinetnya juga, Jokowi melantik Raja Juli Antoni sebagai timbalan Hadi, John Wempi Watipo sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri, dan Afriansyah Noor sebagai Timbalan Menteri Tenaga Kerja.

Mengulas mengenai rombakan itu, Jokowi berkata menteri-menteri baharu sudah dilantik berdasarkan kemampuan mereka, katanya dalam satu siaran langsung.

“Saya melihat rekod prestasi mereka terutamanya kemahiran pengurusan. Ini kerana mereka bukan sahaja perlu bekerja pada isu makro tetapi juga mikro.

“Pengalaman dan rekod prestasi Zulkifli sudah dipertimbangkan sebelum beliau dilantik. Hal ehwal makanan berkaitan rakyat memerlukan pengalaman lapangan.

“Dari segi eksport, saya fikir ia juga urusan Menteri Perdagangan, tetapi apa yang lebih penting ialah keperluan asas (rakyat) dalam negara yang kita kena jaga,” katanya.

Pemimpin Indonesia itu juga beberapa kali berkata semasa memegang jawatan, dia mahu kerajaannya menyelesaikan masalah pemilikan tanah rakyat secepat mungkin yang ditugaskannya kepada Hadi.

Menurut perlembagaan Indonesia, Jokowi hanya boleh berkhidmat untuk maksimum dua penggal, yang akan tamat pada 2024.

METRO

Leave a Reply