Ranking daya saing turun bukan salah PM, Najib beritahu Guan Eng

Ranking daya saing turun bukan salah PM, Najib beritahu Guan Eng

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak harus dipersalahkan atas kejatuhan kedudukan negara dalam ranking daya saing global, kata Najib Razak.

Dalam hantarannya di Facebook hari ini, Najib menegaskan bahawa kedudukan daya saing dunia Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) 2022 diukur daripada prestasi Malaysia pada tahun lepas.

“Tapi ini adalah ranking bagi tahun lepas di mana negara kita di bawah lockdown separuh masak dengan tempoh antara paling panjang di dunia ketika kerajaan PN (Perikatan Nasional) memerintah,” katanya merujuk kepada pentadbiran bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, dilantik sebagai perdana menteri pada Mac 2020 selepas kerajaan Pakatan Harapan dijatuhkan melalui Langkah Sheraton dan meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Ogos tahun lepas.

Ismail kemudiannya dilantik menjadi perdana menteri Malaysia yang kesembilan.

Najib menjawab kritikan Pengerusi DAP Lim Guan Eng terhadap Ismail berikutan kejatuhan kedudukan negara dalam ranking daya saing global..

Lim berkata, kejatuhan itu adalah disebabkan kegagalan perdana menteri mengamalkan tadbir urus yang baik.

Bagaimanapun, Najib berkata Lim sepatutnya menyalahkan menteri-menteri yang terlibat secara langsung dalam ekonomi seperti Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mustapa Mohamed.

Bekas perdana menteri itu berkata, Muhyiddin juga harus dipersalahkan dalam hal itu kerana kedudukannya sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri.

“Paling aneh ialah Guan Eng kata PM (perdana menteri) gagal tapi dia juga yang signing MoU untuk sokong PM yang gagal.

“Kamu kata gagal tapi kamu sokong gagal? Kenapa ya, Guan Eng?” soal Najib.

Kritikan Lim dibuat susulan laporan bahawa Malaysia jatuh tujuh anak tangga ke tempat ke-32 dalam kedudukan daya saing dunia IMD 2022, berbanding kedudukan ke-25 tahun lepas.

Bekas menteri kewangan itu berkata penurunan dalam ranking itu memperkukuh keperluan Putrajaya untuk mengambil kira amaran tentang kekurangan kecekapan, kepastian, dan konsistensi dalam tadbir urusnya, dan memberi amaran bahawa laporan itu tidak memberi gambaran yang baik untuk ekonomi. FMT

Ranking daya saing turun bukan salah PM, Najib beritahu Guan Eng

mykmu.net

 

Leave a Reply