Tawar alternatif kurang mudarat

MEROKOK adalah suatu tabiat yang sukar dihentikan. Walaupun rata-rata perokok sedar mengenai kesan buruk yang bakal ditanggung seumur hidup, mereka seolah-olah menganggap perkara itu biasa.

Lebih membimbangkan, kebanyakan perokok terbiasa menjadikan tabiat itu sebagai rutin setiap kali selepas makan atau ketika waktu rehat dengan alasan bagi mengurangkan tekanan atau mencari ‘ilham’.

Sehingga kini, pelbagai kempen dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membantu perokok menghentikan tabiat itu, namun masih belum mendatangkan hasil yang baik.



Terbaharu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mengumumkan bahawa akta baharu bagi melarang kegiatan merokok dan pemilikan sebarang produk merokok, termasuk rokok elektronik akan dibentangkan di Parlimen pada sesi Julai depan.

Bagaimanapun, larangan itu hanya membabitkan generasi yang lahir selepas 2005 atau dikenali sebagai ‘Generational End Game’.

Pengumuman itu mendapat pelbagai reaksi daripada ramai pihak apabila langkah berkenaan dilihat perlu diselaraskan dengan tawaran penyelesaian lain bagi mengurangkan impak negatif.

Menurut artikel A Brief Look at Why Prohibition Laws Don’t Work oleh Tarnell Brown, pelaksanaan undang-undang larangan membabitkan produk terkawal seperti rokok dan alkohol menemui kegagalan di beberapa negara lain1.



Sebagai contoh, di Amerika Syarikat, pelaksanaan undang-undang larangan membabitkan produk alkohol gagal apabila kerajaan bukan sahaja tidak berjaya mengurangkan pengambilan alkohol, tetapi turut gagal mengurangkan beban pembayar cukai serta jumlah penghuni penjara dan rasuah terus meningkat1.

Alternatif kurang mudarat 

Bimbang bakal berdepan situasi sama, Malaysia disaran mengambil iktibar dan mencontohi negara maju lain seperti New Zealand yang mengambil pendekatan berbeza menerusi Kaedah Pengurangan Kemudaratan Tembakau (THR), iaitu strategi kesihatan awam bagi mengurangkan risiko kesihatan terhadap individu yang sering menggunakan produk tembakau.

Kementerian Kesihatan New Zealand sama sekali tidak melarang penggunaan produk alternatif merokok, seperti e-rokok, vape dan produk pemanasan tanpa pembakaran, sebaliknya mengiktiraf peranan yang dimainkan produk alternatif itu dalam mencapai sasaran bebas asap rokok dengan hanya baki lima peratus bilangan perokok menjelang 20252.



Pada masa sama, negara itu juga melaksanakan pelbagai kempen bagi menggalakkan perokok dewasa mempertimbangkan alternatif sebagai terapi berhenti merokok memandangkan alternatif ini terbukti mempunyai potensi mengurangkan mudarat berbanding rokok tradisional.

Selain New Zealand, kaedah ini juga banyak diguna pakai di negara lain seperti di United Kingdom (UK), Norway, Sweden, Jepun dan Korea Selatan yang mencadangkan alternatif kepada produk tembakau tradisional3. Ini kerana produk alternatif mempunyai potensi pengurangan kemudaratan untuk rakyat.

Menurut Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA), produk pemanasan tanpa pembakaran ataupun produk heat-not-burn dikatakan sebagai produk tembakau yang kurang risiko kepada perokok. Keputusan ini dibuat selepas ada bukti menyatakan produk tembakau yang dipanaskan dapat mengurangkan pendedahan terhadap bahan kimia berbahaya berbanding rokok konvensional.

Secara kesimpulan, penggunaan produk alternatif sudah pasti mengundang kebimbangan ramai pihak, terutama keluarga, namun penerangan berhubung perkara itu harus diberikan supaya matlamat untuk berhenti merokok tercapai.



Kaedah ini bukanlah untuk menggalakkan amalan rokok diteruskan, sebaliknya ia adalah suatu usaha bagi membantu mereka terutama perokok tegar mengurangkan kesan buruk asap rokok kepada mereka dan orang sekeliling.

Bagaimanapun, kaedah terbaik bagi mengurangkan risiko kesihatan adalah dengan berhenti merokok atau jangan mula merokok.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button