Tuanku Zara berkenan lawat SMK Seri Samudera

Manjung: Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan melawat Sekolah Amanah Negeri Perak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Samudera di sini, hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Saidi Mohamad Daud serta Pengarah Pendidikan Perak Aznan Alias.

Pada majlis itu, Tuanku Zara turut berkenan mendengar taklimat mengenai sekolah amanah daripada wakil LeapEd Service Sdn Bhd serta melawat kelas pendidikan khas, kelas pembelajaran CLS tingkatan lima dan tapak pameran.

Pengetua SMK Seri Samudera Sahila Shukor berkata, matlamat pihaknya adalah untuk membawa perubahan kepada prestasi sekolah dan meningkatkan kemenjadian pelajar selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara sejak dipilih sebagai sekolah amanah pada 2017.

Menurutnya, banyak cabaran dan rentetan kejayaan hasil integrasi dan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah Manjung (PPD) dan seluruh warga sekolah dengan penyeliaan serta bimbingan pihak Yayasan Amir dan LeapEd Service Sdn Bhd.

“Selama lima tahun kami berusaha mencapai akreditasi sebagai sekolah amanah, kini kita melihat banyak kejayaan di peringkat daerah, negeri dan antarabangsa dalam kalangan pelajar.

“Sekolah kami berjaya mencapai sasaran 100 peratus lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2020 yang mana ia suatu cabaran dan peningkatan terbaik sepanjang lima tahun.

“Dua pelajar sekolah ini berjaya menyertai ‘World Robotic Olympiad’ peringkat antarabangsa selain 10 pelajar berjaya menyertai ‘Universal Robotic Challenge 2021’,” katanya.

Menurutnya, dalam keputusan SPM 2021 yang diumumkan hari ini, buat julung kalinya, dua pelajar sekolah berkenaan mendapat semua A dalam keseluruhan mata pelajaran, manakala 10 pelajar mendapat 5A ke atas.

“Kami berharap kecemerlangan untuk pendidikan terutamanya akademik, hal ehwal murid dan kokurikulum dapat diteruskan dan melestarikan sekolah amanah.

“Saya percaya budaya sekolah amanah perlu dilestarikan dan dipraktiskan ke sekolah di bawah KPM,” katanya.

Program Sekolah Amanah dimulakan KPM bagi menjalankan program transformasi dalam persekitaran pembelajaran di sekolah awam melalui kerjasama bijak antara sektor awam dan swasta.

Untuk rekod, SMK Seri Samudera antara 94 sekolah amanah di seluruh negara sejak 2011.

METRO

Leave a Reply