Beberapa lokasi di Ipoh alami banjir kilat

Ipoh: Beberapa lokasi sekitar bandaraya ini mengalami banjir kilat selain runtuhan tembok tambakan tanah susulan hujan lebat petang tadi.

Insiden runtuhan struktur tembok berlaku di Jalan Sultan Azlan Shah dekat Taman Ipoh sehingga menyebabkan beberapa kenderaan yang diletakkan berhampiran terjejas.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, laporan mengenai banjir kilat diterima oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dan BBP Simpang Pulai membabitkan beberapa kawasan iaitu Taman Ipoh, Taman Canning dan Persiaran Chempaka Sari di Taman Chempaka.

Katanya, panggilan diterima antara jam 4.08 petang hingga 4.30 petang tadi namun insiden tidak membabitkan mangsa melainkan terdapat sebuah kenderaan yang dilaporkan terperangkap di dalam kawasan banjir berdekatan Taman Ipoh.

“Anggota membuat pemantauan di lokasi kejadian sehingga air surut sepenuhnya,” katanya menerusi kenyataan pada petang ini.

Katanya, air naik sehingga paras 1.2 meter di Taman Chempaka namun sudah surut kepada 0.3 meter dan tiada perpindahan mangsa banjir dilakukan setakat kini.

Sementara itu, beberapa visual kejadian runtuhan tembok di Taman Ipoh tular di media sosial termasuk melalui siaran penstriman langsung di Facebook (FB Live) kepunyaan Ahli Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Woh.

Menerusi visual yang ditularkan, runtuhan berlaku berdekatan kawasan persimpangan selain membabitkan dua jalan yang terpisah oleh tembok tambakan tanah berdekatan kawasan longkang.

METRO

Leave a Reply