Bomba Miri bantu hantar air

Miri: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut membantu meringankan beban penduduk Bandaraya Miri yang kini berdepan krisis bekalan air berikutan saluran air utama di Batu 7, Jalan Miri-Bintulu, pecah sejak Khamis lalu.

Pasukan penyelamat itu bukan saja menghantar air bersih kepada penduduk terjejas malah turut membantu mengepam air yang bertakung di lokasi paip pecah bagi memudahkan Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU) melakukan kerja membaiki kerosakan itu.

Pengarah JBPM Sarawak, Datuk Khirudin Drahman berkata, bantuan kecemasan itu memberi ruang kepada pihaknya menterjemahkan semangat Keluarga Malaysia serta pelaksanaan dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara 2020- 2030.



“Bomba dan komuniti adalah satu entiti yang amat akrab. Kita menjadi rakan kongsi dan memahami nadi keperluan komuniti.

“Bantuan diberi dengan sebaik mungkin untuk meredakan kegusaran masyarakat di Miri susulan krisis bekalan air itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Khirudin berkata, semalam beliau memberi arahan kepada Pusat Gerakan Operasi (PGO) negeri dan semua Ketua Zon JBPM Sarawak agar memberi bantuan sewajarnya apabila membabitkan kebajikan dan kesejahteraan komuniti, sama seperti yang dilakukan ketika negara berdepan ancaman Covid-19.

“Kecemasan dan kepentingan umum menjadi keutamaan. Kami sentiasa menyediakan anggota dan aset untuk membantu,” katanya.



Krisis air di Miri yang berlaku sejak Khamis lalu dijangka berlanjutan sehingga esok berikutan masalah penyambungan paip utama di Batu 7, Jalan Miri-Bintulu.

Selain JBPM, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dari Sibu, Bintulu dan Mukah turut menggerakkan lori tangki untuk menghantar bekalan air bersih kepada penduduk yang terjejas.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button