Ekspo Pendidikan Melaka bakal jadi acara tahunan

MELAKA: Ekspo Pendidikan Melaka 2022 bakal dijadikan acara tahunan dalam usaha menjadikan negeri ini hab pendidikan dan melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir.

Program anjuran Sheng Tai International dengan kerjasama Melaka Hari Ini Sdn Bhd dan Kerajaan Melaka di Hotel Ames selama tiga hari itu dilancarkan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Sulaiman berkata, program berkenaan dicadang dijadikan acara tahunan bagi membuka peluang lebih besar kepada anak-anak negeri ini melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata, penganjuran ekspo pendidikan seperti itu dapat membantu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memilih bidang dan hala tuju yang mereka mahukan.

Malah, katanya, beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) juga memberikan beberapa tawaran istimewa, antaranya kursus secara percuma yang berupaya membantu pelajar dari golongan B40.

“Pelbagai tawaran pada ekspo ini seperti kursus percuma bagi beberapa tahun pembelajaran dan begitu juga ada IPT menawarkan kursus yang saya sendiri tidak pernah terfikir seperti penyiasatan forensik.

“Sehubungan itu anak-anak Melaka perlu merebut peluang memilih sendiri impian mereka dan seterusnya mengejar cita-cita,” katanya pada sidang media selepas merasmikan ekspo berkenaan pada majlis turut dihadiri EXCO Pendidikan negeri, Datuk Rais Yasin.

Lebih 30 lot pameran disediakan dalam program julung kali itu yang mampu menyediakan modal insan berkemahiran tinggi untuk menyokong keperluan industri susulan pelbagai projek dirancang kerajaan negeri bagi tempoh 15 tahun akan datang.

Sulaiman berkata, antara pelaburan yang memerlukan modal insan berkemahiran tinggi pada masa akan datang adalah koridor ekonomi pesisir laut berimpak tinggi, ‘Melaka Waterfront Economic Zone’ (M-WEZ).

Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi Sheng Tai International, Datuk Leong Sir Ley, berkata pihaknya gembira dengan sambutan positif dari institusi tempatan dan antarabangsa yang mengambil bahagian.

Beliau berkata, ekspo berkenaan sebahagian inisiatif pihaknya membawa pendidikan negara, khususnya di negeri ini ke peringkat yang lebih tinggi.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker