‘Mama, babah, kakak tunggu kepulangan Ali’

Kuala Lumpur: “Ali, jika Ali terbaca ‘posting’ ini, ketahuilah yang mama, babah dan kakak sedang menunggu kepulangan sayang.”

Itu coretan Wan Esuriyanti Wan Ahmad, di Facebook (FB) susulan anaknya, Ali Imran Naseruddin masih gagal ditemui.

Remaja lelaki berusia 16 tahun dan pelajar Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 4, didapati keluar dari kediaman kira-kira 4 pagi kelmarin dan gagal dihubungi sehingga kini.

Wan Esuriyanti berkata, lebih 50 jam sudah berlalu, Ali Imran masih belum ditemui.

“Kami terima maklumat orang ramai yang mengatakan mereka ternampak Ali di Kuala Lumpur, khususnya di kawasan Keramat.

“Kami bergegas ke sana hingga lewat pagi, tetapi tiada penemuan. Kami cuma mampu edarkan poster dan maklumat kehilangan Ali,” katanya.

Menurutnya, biarpun sedih, mereka terus yakin bahawa Ali berada dalam keadaan selamat, di bawah lindungan Allah SWT, berkat doa yang tidak putus-putus dari semua.

“Mama, babah, kakak sentiasa menyayangi Ali sepenuh hati dan kami sokong Ali. Pulanglah. Sesungguhnya, kami amat menyayangi Ali untuk selama-lamanya.

“Kepada semua, tiada kata dapat menggambarkan rasa penghargaan kami di atas segala doa, solat hajat, sokongan dan bantuan yang diberikan,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker