Zii Jia gagal mara ke final Terbuka Indonesia

KUALA LUMPUR: Perjuangan jaguh perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia pada Terbuka Indonesia berakhir sebentar tadi, selepas dia tewas kepada pemain ranking pertama dunia dari Denmark, Viktor Axelsen.

Bermain di Stadium Istora Senayan, Jakarta, Zii Jia bermula dengan baik apabila berjaya menjinakkan Axelsen 21-19, namun terpaksa akur apabila tewas 11-21 di set kedua.

Zii Jia mendahului set ketiga dengan baik pada awal saingan sebelum Axelsen mempamerkan kebangkitan pada pertengahan saingan.



Perlawanan menjadi mendebarkan di penghujung set apabila Zii Jia mengejar mata lawannya itu, namun pada akhirnya terpaksa akur dengan kemampuan Axelsen yang mencatatkan kemenangan 21-23.

Pertembungan antara Zii Jia dan Axelsen ini adalah yang ketujuh dengan rekod kemenangan memihak kepada pemain Denmark berkenaan kepada 5-2.

Untuk rekod, pada pertembungan sebelum ini, Axelsen meraih kemenangan 21-19, 21-19 di suku akhir Terbuka Denmark 2021 selepas Zii Jia menumpaskannya di final Seluruh England 30-29, 20-22, 21-9 pada tahun sama.

Pada aksi suku akhir semalam, Zii Jia menyingkirkan bintang Singapura yang juga juara dunia, Loh Kean Yew 21-18, 16-21, 22-20 dalam pertarungan selama 65 minit untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir.



Axelsen dijadual bertemu pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara pemain China, Zhao Jun Peng dan Prannoy H S daripada India. Perlawanan dijadual diadakan sebentar lagi.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button