Pekan Danok kembali ‘Hidup’

Sadao: Selepas dua tahun berada dalam suasana suram, pekan Danok yang menjadi laluan utama masuk ke Thailand, kembali beransur pulih dan dikunjungi pelancong terutama dari Malaysia bagi membeli-belah.

Biarpun tidak semeriah sebelum pandemik Covid-19 melanda, beberapa peniaga restoran dan makanan ringan mula membuka premis mereka sejak seminggu lalu, selepas pergerakan di pintu sempadan Sadao-Bukit Kayu Hitam mulai meningkat.

Peniaga pulut ayam dan mangga, Siti Rahimah Soleh, 45, berkata pekan itu boleh dikatakan lumpuh apabila pintu sempadan Malaysia-Thailand ditutup sepenuhnya pada 2020 menyebabkan banyak perniagaan terpaksa gulung tikar.

Katanya, ketika itu ramai peniaga cuba bertahan dan terus membuka kedai masing-masing, namun tanpa kehadiran pelancong Malaysia, perniagaan mereka tidak dapat meraih keuntungan berbanding dahulu.



“Selama hampir dua tahun kami menangis, kami sangka pintu sempadan ditutup dua minggu sahaja pada Mac 2020. Kebanyakan peniaga di Danok masih berniaga seperti biasa dengan harapan pintu sempadan kembali dibuka ketika itu.

“Bagaimanapun, kami terpaksa akur apabila pintu sempadan tidak dibuka sehingga saya terpaksa tutup kedai pada Mei 2020 dan mengambil keputusan pulang ke kampung di Pattani sementara waktu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pintu sempadan Malaysia-Thailand hanya dibuka kembali pada 1 April lalu, namun pemulihan kegiatan ekonomi di kawasan sempadan masih berlaku secara perlahan berikutan belum banyak pelancong berkunjung antara dua negara berkenaan.

Kekurangan pergerakan pelancong berkenaan dikatakan berlaku berikutan beberapa syarat yang dikenakan kerajaan Thailand, namun kelonggaran mula diberi sejak Mei lalu, apabila penggunaan pas sempadan kembali dibenarkan.



Siti Rahiman berkata, kedai makannya yang terletak di jalan utama menuju ke sempadan dibuka semula minggu lalu, selepas melihat semakin ramai pelancong Malaysia masuk ke negara itu sejak awal bulan lalu.

“Pekan Danok boleh dikatakan mati selama dua tahun, malah ketika ini hanya beberapa kedai baharu dibuka, manakala kebanyakan peniaga lain masih menunggu untuk melihat keadaan sebelum berani membuka kedai semula.

“Saya juga tidak menyediakan banyak menu makanan selain kedai juga ditutup pada jam 9 malam kerana pelanggan masih tidak ramai berbanding sebelum pandemik melanda,” katanya.

Pengusaha van pelancongan, Kraisee Sud, 31, pula berkata, kebanyakan pelancong Malaysia memilih untuk terus ke Hatyai dan hanya singgah sebentar di Danok untuk makan atau berehat sahaja.

“Keadaan di Hatyai lebih baik kerana lebih banyak tarikan seperti kedai dan pusat membeli-belah dibuka. Ramai pelancong yang menaiki van juga memilih menginap di Hatyai atau terus ke Phuket atau Krabi setakat ini.

“Saya jangka keadaan di kawasan sempadan akan pulih sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan lagi kerana semakin ramai pelancong Malaysia masuk ketika ini terutamanya pada cuti hujung minggu,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker