Tiga anggota IPK Kedah dituduh seludup PATI

ALOR SETAR: Lapan warga tempatan termasuk tiga anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah didakwa di mahkamah hari ini, terhadap tuduhan menyeludup 119 pendatang tanpa izin (PATI) etnik Rohingya bulan lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, semua suspek berusia antara 28 hingga 51 tahun ditahan secara berasingan dalam dua siri tangkapan.

Beliau berkata, dalam kejadian pada 24 Mei lalu, sebuah bot nelayan ditahan di perairan Kuala Kedah bersama empat warga tempatan disyaki tekong bersama 119 warga Myanmar oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

“Susulan kejadian berkenaan, empat lagi warga tempatan dikesan dan ditahan selepas disyaki terbabit dalam aktiviti penyeludupan migran.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan adalah seramai lapan orang iaitu tiga daripadanya anggota polis yang bertugas di IPK Kedah.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959 (Pin. 2002),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Hassan berkata, kes itu dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Kedah dan seterusnya ke Pejabat Peguam Negara Putrajaya dan kebenaran pertuduhan sudah diperolehi terhadap kedua-dua penjawat awam itu mengikut Seksyen 26B (d) ATIPSOM 2007 (Akta 670) dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.

“Tiga warga tempatan dituduh mengikut Seksyen 26A ATIPSOM 2007 (Akta 670) dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan pula boleh dihukum dengan penjara selama 20 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

“Dua lagi suspek diletakkan mengikut bon Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593),” katanya.

BHOnline

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker